Geng Jamil tumpas akhirnya

Geng Jamil tumpas akhirnya

bhnews@bh.com.my

JITRA: Lapan ahli ‘Geng Jamil’ termasuk seorang warga Thailand berusia 18 hingga 36 tahun yang aktif mencuri motosikal di daerah ini dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 ditahan polis.

Mereka ditahan secara berasingan antara 1 hingga 3 Jun lalu oleh Team Task Force Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu dan Balai Polis Air Hitam. Semua lapan suspek ditahan berdasarkan maklumat yang diperoleh manakala seorang lagi masih bebas.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Rodzi Abu Hassan, berkata seorang daripada suspek ditahan pada 1 Jun lalu pada jam 11.30 pagi bersama sebuah motosikal jenis Honda EX-5 dirampas. Susulan itu, polis menahan tujuh lagi suspek secara berasingan antara jam 8 pagi hingga 3 petang hari sama untuk membantu siasatan. Saringan awal air kencing mendapati semua mereka positif dadah.

Turut dirampas empat motosikal iaitu sebuah Yamaha 125ZR dan tiga motosikal jenis Honda EX-5 serta sebuah enjin motosikal yang dilaporkan hilang sebelum ini.

Modus operandi kumpulan ini adalah dengan keluar secara berkumpulan pada lewat malam ketika PKP dan terus mencuri motosikal yang disasarkan.

“Lima daripada suspek iaitu suspek pertama hingga kelima yang ditahan mengaku terbabit dalam kegiatan curi motosikal di Air Hitam dan Alor Janggus di Alor Setar.

“Mereka kemudian menjual motosikal curi berkenaan kepada tiga suspek termasuk seorang yang masih bebas,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top