redzuan.muharam@hmetro.com.my
Seremban: “Ada yang kata saya warga asing hanya kerana warna kulit saya yang gelap.
“Jika nak sedih atau kecewa pun, saya bukan boleh tutup mulut orang jadi terima saja selagi mana mereka tak hina anak dengan isteri,” kata Muhammad Hafis Mohamed Hussien.
Muhammad Hafis, 27, menjadi mangsa sindiran wajah atau ‘face shaming’ selepas berkongsi gambar hari raya bersama isteri, Nurfatin Adila Bukhari, 29, dan cahaya mata mereka, Muhammad Fayyadh yang berusia dua bulan.
Menurutnya, itu kali pertama dia berkongsi gambar keluarganya di Threads dan tidak sangka mendapat reaksi luar biasa termasuk kecaman dengan sebahagiannya mempersendakannya kerana kulit gelap serta meragui status kerakyatannya.
“Saya tak aktif di Threads cuma saja kongsi gambar bersama anak dan isteri tempoh hari kerana itu kali pertama kami beraya bersama.
“Kongsi di situ untuk kenangan saja tapi terkejut juga bila dapat banyak komen dan banyak yang positif.
“Cuma di ruangan komen itu, ramai juga yang menghina wajah saya sampai kata saya bukan rakyat negara ini sedangkan lahir dan membesar di sini,” katanya kepada Harian Metro.
Muhammad Hafis yang menetap di Senawang, dekat sini berkata, dia tidak melayan atau mengambil hati kerana pernah melalui pengalaman sama sebelum ini.
Bagaimanapun, dia mengakui apa yang berlaku membuatkannya khuatir jika satu hari nanti anaknya turut menjadi mangsa hinaan sepertinya.
“Sebenarnya, sejak sekolah lagi saya sudah diejek sebab berkulit gelap sampai ada yang pernah panggil saya hitam.
“Di tempat kerja pun sama dan ikutkan, saya sudah lali cuma sebelum ini ada gambar saya dengan isteri tular di media sosial.
“Waktu itu, isteri agak ‘down’ (patah semangat) kerana orang hina saya tapi saya pesan supaya tak baca dan layan,” katanya.
Di sebalik apa yang berlaku, Muhammad Hafis menganggap hinaan dilemparkan sebagai ujian dan tetap bersyukur dengan paras rupa kurniaan Allah SWT.
“Apa boleh saya katakan, terima kasih buat yang mendoakan kami sekeluarga dan titipkan kata semangat walaupun tak kenal saya atau isteri.
“Buat yang komen negatif saya tak boleh kata apa dan doakan yang baik-baik saja untuk semua,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




