Pengunduran AS daripada NATO perlu kelulusan kongres – Pelosi

Pengunduran AS daripada NATO perlu kelulusan kongres – Pelosi
Pengunduran AS daripada NATO perlu kelulusan kongres – Pelosi

Nancy Pelosi – Foto fail Reuters

ISTANBUL – Bekas Speaker Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS), Nancy Pelosi berkata pengunduran AS daripada Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) tidak boleh dilakukan oleh Presiden Donald Trump tanpa kelulusan Kongres, sambil mengkritik ancaman beliau untuk meninggalkan perikatan itu sebagai “tidak berpandangan jauh”.

Dalam hantaran di platform X pada Sabtu, Pelosi berkata, NATO ditubuhkan 77 tahun lalu oleh AS dan sekutunya sebagai sebuah perikatan yang berteraskan keamanan dan demokrasi.

“Ancaman Trump untuk keluar bukan sahaja tidak berpandangan jauh, malah merupakan hadiah kepada (Presiden Rusia) Vladimir Putin,” kata Pelosi, yang berkhidmat sebagai Speaker Dewan Perwakilan AS dari 2007 hingga 2011 dan dari 2019 hingga 2023.

Menekankan kekangan undang-undang, Pelosi berkata: “Undang-undang jelas: Tiada presiden boleh menarik diri daripada NATO tanpa kelulusan Kongres.”

Kenyataan itu dibuat ketika Trump berulang kali mengkritik NATO dengan menyifatkannya sebagai “harimau tak bertaring” susulan respons perikatan itu terhadap krisis Selat Hormuz, selain mengecam anggota pakatan sebagai “pengecut”, sambil berkata langkah meninggalkan perjanjian pertahanan itu kini bukan lagi sekadar pertimbangan.

Di bawah undang-undang yang diluluskan pada 2023, presiden AS tidak boleh menarik diri daripada NATO secara unilateral tanpa kelulusan dua pertiga Senat atau akta Kongres. – Bernama

 

 

 

 

Scroll to Top