Kuala Lumpur: Atlet memanah compound, Fatin Nurfatehah Mat Salleh menaruh harapan supaya skuad compound wanita negara dihantar bersaing di Sukan Asia 2026 di Aichi-Nagoya, Jepun yang dijadual berlangsung dari 19 September hingga 4 Oktober depan.
Beliau berkata, dalam pelbagai kejohanan memanah tahun ini, tumpuannya terarah untuk beraksi di pentas Sukan Asia yang merupakan antara pertandingan terpenting baginya pada musim ini.
Pemanah berusia 35 tahun itu bagaimanapun memaklumkan setakat ini, masih belum ada keputusan rasmi berhubung penyertaan skuad compound wanita ke temasya sukan empat tahun sekali itu.
“Sasaran terbesar tahun ini sepatutnya Sukan Asia, cuma untuk compound wanita masih 50-50. Saya belum dapat pengesahan yang mengatakan compound wanita akan dihantar.
“Saya berharap dengan pencapaian baru-baru ini (Kejohanan Memanah Piala Asia 2026), kami akan diberi peluang untuk ke Sukan Asia, kalau tidak (hantar) pun tak mengapa, kami akan bermain pertandingan di peringkat domestik saja,” katanya.
Pada Kejohanan Memanah Piala Asia 2026 (Peringkat 1) di Bangkok, Thailand bulan lepas, Fatin Nurfatehah meraih tiga pingat iaitu dua perak menerusi acara compound individu dan berpasukan campuran bersama gandingan Mohd Juwaidi Marzuki serta satu gangsa dalam acara berpasukan wanita.
Pasukan wanita negara dibarisi Fatin Nurfatehah, Aina Syazwana Abdul Muhaimin dan Ng Sui Kim.
Sebagai rekod, pada Sukan Asia 2022 di Hangzhou, China, Fatin Nurfatehah menamatkan saingan individu di pusingan kedua, manakala dalam acara berpasukan campuran skuad negara mara hingga ke suku akhir, sementara Malaysia tidak menghantar penyertaan dalam acara berpasukan wanita.
Sementara itu, beliau yang memenangi pingat gangsa berpasukan campuran pada Piala Dunia 2023 di Antalya, Turkiye berpandangan pendedahan pertandingan di peringkat antarabangsa menjadi faktor utama membezakan prestasi atlet negara dengan pencabar lain.
Beliau berkata, untuk bersaing di pentas tertinggi, penyertaan lebih kerap dalam kejohanan luar mampu memperkukuh persediaan mental dalam menghadapi tekanan serta intensiti saingan.
“Pihak lawan menyertai lebih banyak kejohanan berbanding kita. Apabila lebih kerap beraksi pengalaman akan bertambah dan dari segi mental serta psikologi, mereka juga akan lebih bersedia kerana terdedah kepada lebih banyak kejohanan besar.
“Saya rasa paling penting untuk pemanah beraksi pada tahap terbaik ialah persediaan rapi dari segi fizikal dan mental.
“Apabila persediaan mencukupi dan turun ke pertandingan, Insya-Allah kita mampu memberikan yang terbaik,” kata atlet kelahiran Kota Kinabalu, Sabah itu.
Fatin Nurfatehah dan rakan sepasukannya dijadual menyertai saingan Piala Dunia 2026 (Peringkat 2) di Shanghai, China pada 5 hingga 10 Mei ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




