Istanbul: Pergerakan kapal tangki minyak yang melalui Selat Hormuz telah dihentikan susulan serangan Israel ke atas Lubnan, lapor Anadolu Ajansi (AA) yang memetik Agensi Berita Fars Iran.
Laporan itu menyebut pergerakan kapal tangki dihentikan selari dengan serangan Israel, tanpa memberikan butiran operasi lanjut.
Terdahulu pada hari yang sama, selepas Presiden Amerika Syarikat Donald Trump menerima syarat Iran dan gencatan senjata diwujudkan, dua kapal tangki minyak telah diberikan kebenaran untuk melalui laluan air strategik itu dengan selamat, kata Fars.
Tentera Israel pada Rabu menyatakan ia menyerang lebih 100 tapak “dalam tempoh 10 minit” merentasi pelbagai kawasan di Beirut, Lembah Beqaa, dan selatan Lubnan, sekali gus menandakan serangan terkoordinasi “terbesar” sejak bermulanya serangan semasa.
Trump pada Selasa mengumumkan gencatan senjata selama dua minggu dengan Iran, dengan menyatakan bahawa Tehran membentangkan cadangan 10 perkara yang “boleh dilaksanakan” untuk rundingan.
Pengumuman gencatan senjata itu dibuat kurang dua jam sebelum tamat tempoh tamat yang berulang kali dilanjutkan oleh Trump untuk Iran membuka semula Selat Hormuz dan menerima perjanjian atau berhadapan dengan “kemusnahan seluruh tamadun.”
© New Straits Times Press (M) Bhd




