Fury impikan pertarungan dengan Joshua

Fury impikan pertarungan dengan Joshua

London: Tyson Fury menyatakan hasrat untuk berdepan Anthony Joshua dalam pertarungan yang sudah lama dinantikan antara dua bekas juara dunia heavyweight Britain, sekiranya dia berjaya mengatasi cabaran Arslanbek Makhmudov pada Ahad ini di London.

Fury, 37, kembali daripada persaraan buat kali kelima dalam kariernya dan bakal beraksi di Stadium Tottenham Hotspur, namun fikirannya sudah jauh ke depan.

“Saya ada Makhmudov untuk difikirkan, tetapi jika semuanya berjalan baik, (Joshua) adalah pertarungan yang saya mahukan seterusnya.

“Saya tahu dia baru sahaja bertarung dengan Jake Paul, apa-apa pun… pertarungan tetap pertarungan. Jadi ya, saya akan bersedia untuk itu selepas ini,” katanya kepada BBC Radio.

Joshua, 36, kali terakhir bertarung pada Disember tahun lalu apabila dia menewaskan Jake Paul menerusi keputusan knockout pusingan keenam di Miami.

Beberapa hari selepas itu, bekas juara WBA, IBF dan WBO itu dimasukkan ke hospital di Nigeria selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya yang meragut nyawa dua rakan rapatnya.

Bekas juara WBC dunia dari Amerika, Deontay Wilder turut mencabar Joshua untuk pertarungan yang sudah lama dinantikan selepas menewaskan Derek Chisora pada Sabtu lalu.

Fury yang tidak bertarung sejak tewas kepada juara dunia Ukraine, Oleksandr Usyk pada Disember 2024, menolak kemungkinan pertembungan Wilder-Joshua.

“Mereka (Wilder-Chisora) nampak macam petinju kelab dalam pertarungan amatur di pusat rekreasi tempatan. Ia sedih untuk ditonton,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top