Teruslah buru pemain warisan dan naturalisasi, cuma janganlah menipu lagi

Teruslah buru pemain warisan dan naturalisasi, cuma janganlah menipu lagi

USAHA memperkasakan skuad Harimau Malaya melalui pencarian pemain warisan serta proses naturalisasi tidak seharusnya terhenti di tengah jalan.

Meskipun bola sepak negara baru-baru ini digegarkan dengan kontroversi isu pemalsuan dokumen tujuh pemain, matlamat untuk melihat Malaysia bersaing di pentas tertinggi perlu kekal sebagai agenda utama.

Dalam beberapa hari kebelakangan ini, beberapa nama dikatakan bakal menyarung jersi kebangsaan dalam masa terdekat.

Radar Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kini dilihat tertumpu kepada bintang Liga Malaysia seperti penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT), Bergson da Silva dan pertahanan Kuala Lumpur City (KL City) Giancarlo Gallifuoco yang kini dilaporkan pada fasa akhir proses naturalisasi.

Malah, tonggak tengah Selangor FC yang berasal dari Ghana, Alex Agyarkwa turut disebut-sebut sebagai calon berpotensi selain seorang pemain warisan baharu bakal memperkuatkan pasukan kebangsaan.

Secara logiknya, tidak ada sebab untuk kita menentang kehadiran mereka sekiranya ia dilakukan demi kebaikan dan peningkatan kualiti Harimau Malaya.

Mengapa kita masih memerlukan mereka? Jawapannya terpampang jelas dalam perlawanan menentang Vietnam baru-baru ini.

Kekalahan 1-3 kepada musuh tradisi itu membuktikan bahawa kualiti pemain sedia ada masih belum cukup untuk mencabar kuasa besar Asia Tenggara.

Jika kita bandingkan ketika Malaysia menang 4-0 (sebelum keputusan itu dibatalkan), perbezaannya amat ketara. Ketika itu, bantuan tujuh pemain ‘warisan’ memberikan dimensi permainan yang jauh lebih dinamik dan berkelas tinggi.

Walaupun keputusan itu akhirnya ditukar kepada kekalahan oleh AFC kerana status pemain yang tidak sah, ia tetap menjadi indikator jelas bahawa bakat tempatan kita belum mencapai tahap terbaik untuk bersaing secara konsisten tanpa sokongan pemain warisan atau naturalisasi.

Bagaimanapun, ada pengajaran besar yang perlu dihadam oleh semua pihak.

Kegagalan mematuhi peraturan sehingga dihukum oleh FIFA akibat pemalsuan dokumen tujuh pemain warisan sebelum ini adalah satu tamparan hebat kepada imej bola sepak negara.

Kita tidak perlu serik untuk mencari bakat luar, cuma janganlah kita menipu lagi. ‘Terkantoi’ di pentas antarabangsa bukan sahaja memalukan badan induk, malah merobek kepercayaan penyokong.

Segala proses selepas ini mestilah dilakukan mengikut protokol yang betul, telus dan mematuhi setiap garis panduan yang ditetapkan oleh FIFA dan AFC. Jangan kerana mahukan kejayaan segera, kita sanggup mengambil jalan pintas yang akhirnya memakan diri.

Sementara itu, dalam keghairahan kita memburu pemain naturalisasi atau warisan, satu perkara yang tidak boleh dilupakan adalah pembangunan akar umbi.

Kita tidak boleh terus-menerus bergantung kepada ‘pemain import’ untuk menggalas cabaran negara buat selama-lamanya. Program pembangunan bakat muda mestilah ditambah baik dan diperkasakan secara serius.

Peranan semua pihak daripada FAM, kelab-kelab Liga Malaysia, hinggalah ke peringkat akademi perlu dimainkan secara konsisten.

Kita mahu satu hari nanti, Harimau Malaya dibarisi oleh bakat tempatan yang setanding dengan pemain warisan dan naturalisasi hasil daripada sistem pembangunan yang sistematik.

Oleh itu, pengambilan pemain warisan dan naturalisasi adalah ubat jangka pendek yang diperlukan untuk merapatkan jurang.

Namun, integriti mestilah menjadi tonggak utama dalam setiap proses tersebut.

Biarlah kita membina kejayaan dengan cara yang bermaruah, sambil terus menyemai benih bakat tempatan untuk masa depan yang lebih mampan.

Scroll to Top