am@hmetro.com.my
Jitra: Kenaikan harga diesel memberi tekanan kepada peniaga durian apabila kos pengangkutan meningkat mendadak sekali gus memaksa harga raja buah itu turut terpaksa dinaikkan bagi mengelak menanggung rugi.
Peniaga, Nur Alia NajwaKhairul Anuar, 22, berkata musim durian bermula sejak hujung Mac dengan bekalan diperoleh daripada pembekal dari Johor dan Thailand.
Katanya, antara jenis durian dijual termasuk IOI, Udang Merah dan durian kampung dengan harga antara RM20 hingga RM25 sekilogram bergantung kepada gred.
“Kalau tahun lepas, kami boleh jual sekitar RM15 sekilogram, tapi sekarang harga naik sikit sebab kos pun meningkat.
“Sekarang kos untuk isi minyak diesel lori naik, dulu nak ke Thailand hanya kira-kira RM200 tapi sekarang RM500, begitu juga ke Johor dulu kira-kira RM2,000 kos diesel tapi sekarang RM5,000,” katanya ketika ditemui semalam.
Najwa berkata, kos diesel yang tinggi boleh menyebabkan lambakan durian dari Johor apabila sebahagian bekalan tidak dapat dihantar ke negeri lain terutama di utara susulan kos operasi yang tinggi.
Katanya, sebelum ini gerainya dipenuhi pelanggan seawal jam 9 pagi namun kebelakangan ini pelanggan semakin berkurangan dipercayai orang ramai dilihat lebih berjimat dalam perbelanjaan harian susulan krisis tenaga global.
“Mungkin faktor harga juga, orang tak mampu beli banyak durian, tapi kami pun tersepit sebab modal beli durian pun sudah tinggi,” katanya.
Harga runcit diesel di Semenanjung terus meningkat kepada RM6.72 seliter bermula hari ini hingga 15 April susulan krisis tenaga dunia yang berlanjutan.
Ia menyaksikan peningkatan sebanyak 70 sen berbanding tempoh sebelumnya iaitu RM6.02 seliter.
© New Straits Times Press (M) Bhd




