Petinju wanita kontroversi sasar emas Sukan Asia

Petinju wanita kontroversi sasar emas Sukan Asia

Taipei: Jurulatih kepada peninju wanita Taiwan, Lin Yu-ting berkata, juara Olimpik itu menyasarkan emas Sukan Asia selepas naik kategori berat dan meraih gangsa dalam kejohanan pertamanya sejak Sukan Olimpik Paris 2024.

Yu-ting, yang memenangi emas kategori 57 kilogram (kg) pada temasya 2024, dibenarkan kembali bertanding bulan lalu oleh Tinju Dunia pada Kejohanan Elit Asia di Ulaanbaatar, Mongolia selepas melepasi ujian jantina.

Dia mara ke separuh akhir kategori 60kg namun tewas kepada peninju Korea Utara, Won Un Gyong.

Jurulatihnya, Tseng Tzu-chiang memberitahu AFP bahawa Yu-ting akan memburu emas kedua Sukan Asia di Jepun hujung tahun ini selepas kebangkitan semulanya minggu ini. Sebelum ini dia memenangi kategori 57kg di Hangzhou pada 2023.

“Menukar kategori berat sememangnya satu cabaran. Kehadiran lawan baharu adalah cara terbaik untuk mencabar diri.

“Ia peluang yang sangat baik kerana kami belum pernah berdepan mana-mana lawan dalam kategori ini. Ia satu pencapaian baharu,” kata Tseng dalam temu bual menerusi telefon dari Ulaanbaatar.

Jawatankuasa perubatan Tinju Dunia, iaitu badan yang diiktiraf oleh Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), bulan lalu akhirnya memberi lampu hijau kepada Yu-ting, 30, untuk kembali ke gelanggang.

“Ia kategori baharu dan dia sudah lama tidak beraksi di pentas pertandingan.

“Sudah tentu ujian jantina itu juga satu cabaran dan selepas melepasi halangan itu, kami akan fokus memberikan yang terbaik di Sukan Asia,” kata Tseng.

Yu-ting bersama peninju Algeria, Imane Khelif sebelum ini terpalit dalam kontroversi kelayakan jantina pada Olimpik Paris 2024, di mana kedua-duanya memenangi emas dalam kategori berbeza.

Kedua-dua mereka sebelum ini dilarang bertanding di Kejohanan Dunia 2023 anjuran Persatuan Tinju Antarabangsa (IBA) selepas gagal dalam ujian kelayakan.

Namun IOC membenarkan mereka bertanding di Paris dengan menyatakan mereka menjadi mangsa ‘keputusan mengejut dan sewenang-wenangnya oleh IBA’.

Tinju Dunia kemudian memperkenalkan polisi baharu yang mewajibkan peninju wanita menjalani ujian genetik sekali sahaja untuk bertanding dalam kategori wanita.

Yu-ting sudah menjalani ujian tahun lalu, namun keputusan tidak didedahkan. Dia terlepas beraksi di Kejohanan Dunia pada September selepas dilaporkan gagal menerima maklum balas daripada Tinju Dunia.

Persatuan tinju Taiwan kemudian memulakan proses rayuan dengan menghantar dokumen perubatan kepada Tinju Dunia untuk dinilai oleh jawatankuasa perubatannya.

Pada Mac, dia akhirnya dibenarkan bertanding ‘dalam kategori wanita bagi kejohanan Tinju Dunia’, menurut setiausaha agung badan itu, Tom Dielen dalam satu kenyataan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top