Diganggu suami artis, anak dia siap tanya keadaan saya

Diganggu suami artis, anak dia siap tanya keadaan saya

“SAYA tidak tahu mama muat naik kenyataan itu,”

DEMIKIAN kata penyanyi dan pempengaruh, Athalia yang pernah menyita perhatian apabila ibunya yang juga penyanyi, Sharifah Zarina, mendedahkan tindakan miang seorang suami kepada artis terkenal yang menggoda anaknya. Menurut Athalia, ketika isu sedang hangat diperkatakan beberapa bulan lalu, dia tidak mahu mengulas lanjut, namun apabila keadaan kini sudah reda, barulah gadis berusia 23 tahun ini mahu membuka bicara. 

Jelas Athalia, sebenarnya perbualan dia bersama suami pelakon itu banyak tertumpu kepada anaknya. Malah, Athalia juga memanggil lelaki itu dengan gelaran ‘uncle’ memandangkan jarak usia yang jauh.

“Tapi keadaan jadi semakin pelik apabila daripada sembang tentang anak ‘uncle’ itu, tiba-tiba dia mahu ajak saya keluar. Bila saya tanya ‘anak uncle ada masa lapangkah untuk keluar? Bukankah waktu itu sepatutnya ada sesi persekolahan?’. Tiba-tiba dia tanya mengapa mahu ajak anak, dia mahu keluar berdua sahaja.

“Saya mula rasa lain macam, maklumlah kadang kita juga tidak boleh baca niat orang dan berniat sekadar mahu menjadi ramah. Saya beritahu mama mengenai hal itu dan mama muat naik kenyataan di media sosial,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Jelas penyanyi SKAR itu lagi, dia gusar seandainya mesej tersebut dimanipulasi pihak tertentu yang mahu menggambarkannya sebagai seorang gadis yang mahu merosak rumah tangga orang lain. Sebelum perkara itu berlaku, Athalia mengambil langkah berhati-hati.

“Selepas berbincang dengan mama, kita berjaga-jaga sebab kita tak tahu kalau isteri dia ada tengok telefon. Kita juga tak tahu kalau dia padam mesej dia dan hanya tinggal mesej saja nampak macam saya yang memulakan perbualan.

“Sebab itu saya sudah simpan tangkap layar mesej perbualan sebelum ini,” katanya.

Tambah Athalia lagi, sejak kenyataan berbaur amaran ibunya menjadi tular, dia mula dihujani pertanyaan daripada beberapa rakan pelakon yang berasa bersalah walaupun mereka bukanlah individu yang dimaksudkan.

“Tapi lepas itu ada beberapa yang minta maaf jika kenyataan dikongsikan mama ditujukan kepada mereka sedangkan mereka tidak salah apapun sekadar ucap hari lahir. Situasi itu berbeza dengan ‘uncle’ yang kacau saya.

“Saya juga tak terima apa-apa gangguan daripada ‘uncle’ tersebut, jadi mungkin dia sedar situasi sekarang. Cuma keluarga ‘uncle’ itu ada tanya siapa yang kacau saya cuma takkan kita nak beritahu. 

“Bahagian paling sedih ialah anak dia pun ada tanya keadaan saya,” ceritanya.

Selepas kejadian itu, Athalia bersyukur kerana perkara ini terjadi sekali gus memberi amaran kepada mata keranjang di luar sana bahawa dirinya bukanlah gadis yang boleh dipermainkan.

“Alhamdulillah dia tak kacau saya lagi. Saya juga belajar untuk kawal keadaan supaya tak jadi lebih buruk, itu juga perkara yang mama selalu ingatkan,” katanya.

Fokus pelajaran

Berkongsi perkembangan terkini, Athalia mahu melebarkan sayap dalam bidang pengacaraan dan lakonan selain menyeimbangkan masa menyelesaikan pengajiannya dalam bidang psikologi.

“Pengajian saya dalam bidang psikologi tinggal setahun sahaja lagi, jadi saya sedang beri fokus untuk dapatkan ijazah sarjana muda. Jadi saya pastikan apa-apa tawaran dan kerja yang datang tidak bertindih dengan pelajaran saya.

“Selain itu, saya cuba bidang pengacaraan dan lakonan yang berbeza dengan muzik,” katanya.

Scroll to Top