'Kenyataan Najib perjelas dakwaan nepotisme terhadap saya tidak berasas' – Dzulkefly

'Kenyataan Najib perjelas dakwaan nepotisme terhadap saya tidak berasas' – Dzulkefly

Kuala Lumpur: Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly menghentikan saman fitnah terhadap bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung dakwaan amalan nepotisme susulan pelantikan anak perempuannya di sebuah badan amanah berkaitan kerajaan.

Beliau berkata, penyelesaian itu dicapai di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mahazan Mat Taib selepas Najib bersetuju memuat naik segera kenyataan yang dibacakan di dalam mahkamah ke Facebook miliknya, serta menurunkan hantaran lama yang berkaitan.

Dzulkefly berkata, Najib dalam penjelasannya mengambil maklum aduan beliau di mahkamah bahawa hantaran bekas Ahli Parlimen Pekan itu didakwa memberi gambaran seolah-olah beliau mengamalkan nepotisme berhubung pelantikan anak perempuannya, Nurul Iman.

Najib turut menjelaskan Dzulkefly tidak terlibat dalam pelantikan tersebut dan tiada unsur nepotisme di pihak Ahli Parlimen Kuala Selangor itu.

“Ini sekali gus memperjelaskan bahawa dakwaan nepotisme terhadap saya adalah tidak berasas. Dengan persetujuan yang telah dicapai oleh kedua-dua pihak, pihak saya telah bersetuju untuk memberhentikan saman sivil fitnah tersebut dan seterusnya menganggap perkara ini selesai,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat khususnya Mahazan atas kerjasama untuk menyelesaikan perkara itu secara baik dan penuh penghormatan di Mahkamah Tinggi.

“Saya juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada barisan peguam saya, ahli keluarga serta rakan-rakan seperjuangan yang sentiasa memberikan sokongan moral yang kental sepanjang proses undang-undang ini berlangsung.

“Tidak dilupa, sekalung penghargaan kepada rakan-rakan media atas liputan yang adil dan profesional yang diberikan kepada kes ini dari awal sehingga tamat,” katanya.

Dzulkefly, 70, memfailkan saman terhadap Najib pada 31 Dis 2021, dan mendakwa hantaran fitnah itu diterbitkan dengan niat untuk memalukan dirinya selain bermotifkan politik bagi menjejaskan reputasi beliau.

Pada 7 April lalu, Dzulkefly memberitahu Mahkamah Tinggi beliau tidak tahu mengenai pelantikan anak sulungnya itu dalam dua syarikat yang didakwa berlaku sebelum dan selepas pelantikan beliau sebagai menteri.

Beliau berkata Nurul Iman dilantik sebagai Pengarah Bukan Eksekutif AIM Solutions Group Bhd (AIM Solutions) pada 30 April 2018, iaitu sebelum pelantikannya sebagai menteri pada Julai tahun sama manakala pelantikan selaku ahli lembaga Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) pada Oktober 2018, iaitu selepas beliau memegang jawatan menteri.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top