nurul_husna@mediaprima.com.my
BERAKHIRNYA musim perayaan, tidak sedikit yang berdepan dengan keadaan kewangan tertekan sehingga timbul ungkapan ‘pokai selepas raya’.
Ia seolah-olah sudah sebati dalam kalangan masyarakat sehinggakan fenomena itu dianggap sebagai kebiasaan yang membimbangkan.
Penyelidik dan perunding kesejahteraan kewangan, literasi dan keterangkuman digital, Dr Amirah Shazana Magli menyuarakan keresahan mengenai fenomena pokai selepas raya.
Memetik perkongsian Dr Amirah Shazana mengenai fenomena pokai selepas raya, kata beliau, ia wajar diteliti kerana perkara terbabit mencerminkan tabiat berbelanja buruk, seterusnya memberi kesan kepada kewangan isi rumah.
“Realitinya, peningkatan perbelanjaan ketika musim perayaan bukan sesuatu yang mengejutkan.
“Malah, data daripada Jabatan Statistik Malaysia menunjukkan, perbelanjaan isi rumah di Malaysia terus mencatatkan peningkatan, dengan komponen utama tertumpu kepada makanan dan minuman, termasuk perbelanjaan makan di luar.
“Corak ini dilihat merentasi semua kumpulan pendapatan, sama ada B40, M40 mahupun T20.
“Keadaan ini menunjukkan kecenderungan untuk berbelanja secara berlebihan bukan hanya terhad kepada golongan tertentu, tetapi sudah menjadi amalan umum dalam masyarakat,” katanya.
Beliau menambah, peningkatan perbelanjaan itu juga mendorong tabiat baik individu atau isi rumah mengeluarkan duit melebihi daripada kemampuan.
“Pada masa sama, laporan Bank Negara Malaysia turut menekankan tahap hutang isi rumah negara kekal tinggi, melebihi 80 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
“Walaupun sebahagian besar hutang terbabit berada dalam keadaan terkawal, penggunaan kemudahan kredit bagi menampung perbelanjaan gaya hidup semakin membimbangkan.
“Sehubungan itu, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit melaporkan, antara faktor utama individu mendapatkan bantuan pengurusan hutang ialah kegagalan mengawal perbelanjaan serta kebergantungan kepada kredit untuk memenuhi keperluan harian,” katanya.
Beralih kepada fenomena pokai selepas raya yang tidak berlaku secara kebetulan, Dr Amirah Shazana melihat, ia dipengaruhi faktor tingkah laku pengguna.
“Dalam era digital dan media sosial, pengguna terdedah kepada pelbagai rangsangan yang mendorong perbelanjaan secara impulsif.
“Elemen seperti ‘Fear of Missing Out’ (FOMO) dan gaya hidup ‘You Only Live Once’ (YOLO) menyebabkan individu cenderung untuk membuat keputusan kewangan yang berasaskan kepuasan segera.
“Daripada sudut ekonomi tingkah laku, situasi ini berkait dengan konsep ganjaran dopamin, yang mana setiap pembelian memberikan kepuasan sementara, namun meninggalkan implikasi kewangan yang berpanjangan,” katanya.
Pakar itu juga melihat kemudahan dan akses kredit terlalu mudah memburukkan lagi tabiat berbelanja.
“Keadaan menjadi lebih meruncing apabila kemudahan kewangan seperti kad kredit dan ‘Buy Now Pay Later’ (BNPL) digunakan tanpa kawalan yang wajar.
“Walaupun instrumen ini disediakan sebagai alat pengurusan aliran tunai, penggunaannya secara berlebihan boleh membawa kepada pengumpulan hutang yang tidak terkawal.
“Tanda awal masalah kewangan dapat dilihat apabila individu mula bergantung kepada kemudahan kredit untuk menampung perbelanjaan asas.
“Amalan membayar jumlah minimum pula menyebabkan hutang terus bertambah tanpa disedari,” katanya.
Sehubungan itu, fenomena ini seharusnya dilihat sebagai satu isyarat untuk melakukan perubahan dari segi pemikiran dan tingkah laku kewangan.
“Langkah pertama yang perlu diambil ialah menyusun semula bajet perbelanjaan dengan memberi keutamaan kepada keperluan asas seperti pendidikan, bil utiliti dan keperluan harian.
“Perbelanjaan tidak penting seperti makan di luar, aktiviti sosial yang kerap dan pembelian secara impulsif perlu dikurangkan, sekurang-kurangnya dalam tempoh pemulihan selepas musim perayaan.
“Selain itu, perancangan kewangan bagi perbelanjaan bermusim perlu dilaksanakan lebih awal,” katanya.
Beliau menambah, perbelanjaan berkaitan perayaan, musim persekolahan dan majlis perkahwinan ialah perbelanjaan yang boleh dijangka, namun sering diabaikan dalam perancangan kewangan.
“Contoh, jika jumlah perbelanjaan raya dianggarkan RM3,000 setahun, individu boleh memperuntukkan simpanan bulanan sekitar RM250.
“Pendekatan ini dapat membantu mengurangkan beban kewangan secara mendadak apabila tiba musim perayaan.
“Pada masa sama, kepentingan dana kecemasan tidak boleh dipandang ringan.
“Simpanan ini berfungsi sebagai pelindung kewangan bagi menghadapi situasi tidak dijangka, sekali gus mengelakkan individu daripada terpaksa berhutang atau terjebak dengan pinjaman tidak berlesen.
“Selepas musim perayaan, dana kecemasan yang sudah digunakan perlu segera dipulihkan bagi memastikan kestabilan kewangan jangka panjang,” katanya.
Beliau yang turut mengkaji impak teknologi seperti AI dan FinTech terhadap daya tahan isi rumah menggalakkan penggunaan teknologi dalam meneroka penjanaan pendapatan tambahan.
“Platform dalam talian membuka ruang kepada individu untuk menjual barangan terpakai, menjalankan pemasaran afiliasi atau menawarkan perkhidmatan berdasarkan kemahiran masing-masing.
“Bagaimanapun, usaha ini perlu diimbangi dengan pengurusan masa yang baik agar tidak menjejaskan kesejahteraan keluarga.
“Akhirnya, prinsip kesederhanaan yang dianjurkan dalam Islam wajar dijadikan panduan dalam mengurus kewangan.
“Pengguna perlu mengelakkan sikap boros dan memberi keutamaan kepada perbelanjaan yang benar-benar penting,” katanya yang juga Pensyarah Jabatan Sains Politik, Pentadbiran Awam dan Kajian Pembangunan, Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaya.
Tingkah laku pengguna yang rasional dan berhemah bukan sahaja dapat menjamin kestabilan kewangan, malah dapat mengelakkan tekanan emosi serta konflik dalam keluarga.
© New Straits Times Press (M) Bhd



