THAILAND – Sebuah stesen minyak di daerah Pak Chong, wilayah Nakhon Ratchasima didenda sekitar 2.5 juta baht (anggaran lebih RM308,000) kerana terlibat dalam kegiatan penyeludupan serta penjualan 24,000 liter diesel tanpa cukai.
Memetik laporan Thaiger pada Khamis, Jabatan Eksais Wilayah Tiga menubuhkan pasukan khas bagi memantau dan membanteras kesalahan berkaitan bahan api ketika Thailand berdepan krisis tenaga.
Hasil risikan, pihak berkuasa mengesan aktiviti mencurigakan di sebuah stesen minyak di Lebuhraya Persahabatan di Pak Chong sebelum menyerbu premis berkenaan.
Dalam operasi itu, sebanyak 24,000 liter diesel ditemukan.
Bagaimanapun, pemilik stesen minyak terbabit gagal mengemukakan sebarang dokumen berkaitan sumber bahan api itu ketika disoal siasat.
Sampel bahan api kemudiannya diambil untuk analisis lanjut sebelum disahkan sebagai diesel seludup.
Pemeriksaan turut mendapati tiada rekod asal usul bahan api atau bukti pembayaran cukai, sekali gus menguatkan kesalahan di bawah Akta Cukai Eksais.
Berikutan itu, pemilik stesen minyak berkenaan diarah membayar denda melebihi 2.5 juta baht kerana menjual diesel tanpa cukai.
Pihak eksais menegaskan operasi membanteras penyeludupan bahan api akan terus dipergiat di seluruh negara bagi melindungi peniaga yang mematuhi undang-undang serta mengelakkan ketirisan hasil kerajaan.
Dalam perkembangan berkaitan, satu lagi kes penyeludupan dilaporkan berlaku di daerah Sattahip, wilayah Chon Buri pada Mac lalu apabila Tentera Laut Diraja Thailand menemukan 85,000 liter diesel seludup di atas sebuah kapal tunda.
Suspek dalam kes tersebut dijangka berdepan denda melebihi 3.8 juta baht (kira-kira RM469,000).
Sementara itu, Tentera Laut Diraja Thailand turut menjalankan siasatan terhadap dakwaan penyeludupan bahan api dari Thailand ke Kemboja selepas tular video di TikTok yang memaparkan pemindahan bahan api antara dua kapal tangki, dengan salah satunya dilaporkan mengibarkan bendera Thailand.
Keputusan siasatan berhubung kes tersebut masih belum diumumkan.
Selain pemeriksaan di stesen minyak runcit, Jabatan Siasatan Khas turut menyerbu beberapa lokasi penyimpanan bahan api di seluruh negara dalam usaha membanteras kegiatan penyeludupan.
Pihak berkuasa menemukan bahan api haram di beberapa lokasi, termasuk tiga di Saraburi dan satu di Ang Thong.
Dalam satu kes berasingan di Surat Thani, lebih 57 juta liter bahan api dilaporkan hilang semasa proses penghantaran, menjadikannya antara kes terbesar yang sedang disiasat pihak berkuasa. – Agensi



