hafidzul@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Jabatan Penjara Malaysia mengesahkan bahawa seorang Orang Kena Tuduh (OKT) lolos daripada kawalan polis selepas selesai prosiding perbicaraan di Mahkamah Shah Alam semalam.
Kejadian berkenaan berlaku pada jam 6 petang di perkarangan Penjara Sungai Buloh ketika dalam proses penghantaran OKT.
Jabatan Penjara Malaysia dalam kenyataan berkata, pihaknya kini bekerjasama rapat dengan Polis Diraja
Malaysia (PDRM) dalam usaha mengesan dan menahan semula OKT terbabit.
“Operasi pencarian sedang giat dijalankan dan semua agensi keselamatan telah dimaklumkan bagi membantu usaha ini.
“Jabatan Penjara Malaysia komited untuk terus memastikan keselamatan tahanan dan orang awam sentiasa terpelihara serta akan mengambil
tindakan tegas terhadap sebarang pelanggaran prosedur, “katanya.
Terdahulu, polis dilaporkan giat memburu seorang tahanan warga Pakistan yang melarikan diri dari Penjara Sungai Buloh di sini.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor dilaporkan berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu semalam sebelum operasi mengesan banduan tersebut segera dilancarkan.
Katanya, tahanan tersebut, Muhammad Hassan, 24, menghadapi beberapa pertuduhan termasuk mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan kerana meliwat, Seksyen 392 kanun sama bagi kesalahan merompak dan kesalahan imigresen.
© New Straits Times Press (M) Bhd




