mohdsyazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Debaran Piala Dunia 2026 semakin terasa, namun peminat bola sepak di Malaysia kini berdepan satu kemungkinan yang cukup mengecewakan berikutan mereka mungkin tidak dapat menyaksikan kejohanan terbesar dunia itu secara langsung di televisyen.
Ketika sepak mula hanya berbaki sedikit lebih dua bulan, hak penyiaran Piala Dunia 2026 di Malaysia masih belum terjual, sekali gus mencetuskan persoalan besar sama ada rakyat negara ini bakal ‘kempunan’ aksi pentas paling berprestij bola sepak dunia itu.
Dengan perlawanan pembukaan dijadual berlangsung pada 11 Jun ini, stesen penyiaran tempatan difahamkan masih belum memuktamadkan sebarang pembelian hak siaran, dan keadaan itu mula menimbulkan keresahan dalam kalangan peminat yang saban edisi tidak pernah terlepas mengikuti bahang Piala Dunia.
Difahamkan, harga yang diletakkan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) iaitu kira-kira RM200 juta menjadi penghalang utama apabila penyiar tempatan dilihat masih berfikir panjang, malah tiada pembeli tampil sepanjang 2025 dan kebuntuan itu masih berlarutan sehingga kini.
Lebih mengejutkan, laporan media di India menyatakan FIFA sebelum ini sudah menurunkan harga hak siaran bagi Piala Dunia 2026 dan 2030 daripada RM400 juta kepada RM140 juta, namun potongan besar itu juga masih belum cukup untuk menarik pembida.
Bagaimanapun, rundingan difahamkan masih berjalan dan FIFA berkemungkinan membenarkan stesen televisyen percuma milik kerajaan di Malaysia menyiarkan beberapa perlawanan terpilih daripada kejohanan itu.
Bagi stesen televisyen swasta pula, yuran hak siaran yang tinggi, tempoh singkat untuk mendapatkan penaja dan rakan komersial bagi pakej siaran, selain tekanan ekonomi semasa, dilihat antara faktor besar yang boleh memadamkan harapan peminat untuk menonton aksi Piala Dunia di kaca televisyen.
Situasi itu menjadi lebih rumit apabila kalendar sukan 2026 juga cukup padat dengan penyertaan atlet negara dalam Sukan Komanwel dan Sukan Asia, sekali gus memaksa penyiar tempatan lebih berhati-hati dalam menyusun perbelanjaan masing-masing.
Jika dibandingkan dengan edisi terdahulu, keadaan kali ini jelas jauh berbeza apabila pada 2018, Menteri Komunikasi dan Multimedia ketika itu, Gobind Singh Deo berjaya mendapatkan hak buat Radio Televisyen Malaysia (RTM) untuk menyiarkan 41 daripada 64 perlawanan secara percuma, dengan 27 disiarkan secara langsung dan 14 lagi secara tertunda.
Perjanjian itu yang bernilai sekitar RM30 juta hingga RM40 juta turut mendapat sokongan syarikat swasta seperti Maxis dan AirAsia, sekali gus membantu mengurangkan beban kewangan kerajaan.
Malah, RTM pernah mencatat sejarah tersendiri apabila menyiarkan semua perlawanan Piala Dunia bermula 1966 dan meneruskan liputan tetap sehingga 1978, menjadikan kejohanan itu begitu dekat dengan hati rakyat Malaysia sejak sekian lama.
Satu lagi episod yang masih segar dalam ingatan berlaku pada Piala Dunia 1982 di Sepanyol apabila RTM berdepan kekangan kewangan sehingga mencetuskan gerakan rakyat dikenali sebagai Tabung Siaran Langsung Rakyat (PLTF).
Menerusi inisiatif itu, peminat bola sepak dari seluruh negara berjaya mengumpul kira-kira RM300,000 demi memastikan perlawanan Piala Dunia terus dapat disiarkan secara langsung dan percuma kepada rakyat.
Sejak televisyen berbayar diperkenalkan pada 2006, Astro pula menjadi penyiar utama yang menawarkan liputan penuh kesemua 64 perlawanan secara langsung pada setiap edisi Piala Dunia, sekali gus menjadikan kejohanan itu sentiasa dekat di hati peminat tempatan.
Namun kali ini, dengan masa semakin suntuk dan rundingan masih belum dimuktamadkan, persoalan sama ada rakyat Malaysia akan dapat menonton Piala Dunia 2026 di kaca televisyen terus menjadi tanda tanya besar.
Astro sendiri baru-baru ini memaklumkan bahawa pihak mereka masih belum menerima sebarang maklumat terkini berkaitan siaran Piala Dunia dan akan membuat pengumuman rasmi kemudian berhubung perkara itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




