Sangka anxiety, Andi Bernadee rupanya menderita hipertiroid

Sangka anxiety, Andi Bernadee rupanya menderita hipertiroid

puterialia@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Penyanyi dan pelakon, Andi Bernadee berkongsi mengenai tanda-tanda awal penyakit graves iaitu gangguan autoimun yang menjadi punca hipertiroid dialaminya sejak dua tahun lalu.

Pada peringkat awal, Andi atau nama sebenar Andi Azrul Andi Mapangile​, 35, tidak menyedarinya, sebaliknya menyangka gejala yang dialami hanya berpunca daripada tekanan kerja.

Andi berkongsi ketika itu dia mengalami pelbagai gejala termasuk sesak nafas, degupan jantung terlalu laju hingga terjaga daripada tidur dalam keadaan berpeluh.

“Masa itu saya anggap mungkin stress (tekanan) sebab sibuk dengan album yang ambil masa lama untuk disiapkan.

“Bila buat persembahan, saya ada masalah pernafasan, nafas jadi pendek. Tangan dan kaki pula menggeletar, kadang-kadang rasa sejuk.

“Pegang telefon pun tangan menggigil, bawa kereta pun kaki nak tekan pedal minyak jadi sukar sebab ‘shaky’. Saya ingat mungkin ketika itu saya kena ‘anxiety’,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Bercerita lanjut, Andi berkata, antara gejala paling ketara dialaminya adalah tidak tahan panas selain berpeluh berlebihan di tapak tangan, kaki dan dahi walaupun berada dalam bilik berhawa dingin.

“Pernafasan saya memang sangat terganggu. Saya ada rasa ‘shortness of breath’ (sesak nafas), nak tarik nafas panjang pun rasa macam tersekat.

“Bila buat persembahan, kaki saya akan menggeletar sepanjang masa. Saya fikir mungkin ‘nervous’ atau ‘anxiety’, jadi saya lawan sahaja,” katanya.

Dalam perkembangan terkini, pelantun lagu Donde ini memaklumkan tahap kesihatannya semakin baik, namun masih bergantung kepada ubat-ubatan.

“Doktor ada cadangkan pembedahan, tetapi saya pilih untuk makan ubat. Kalau buang kelenjar tiroid, saya kena makan ubat seumur hidup dan tidak boleh langkau (makan ubat).

“Kalau tidak makan ubat, saya tidak boleh bernafas, paru-paru boleh berhenti dan boleh membawa maut,” katanya lagi.

Mengulas kesan penyakit itu terhadap kehidupan harian, Andi mengakui ia sangat mengganggu termasuk mengalami masalah gusi bernanah selama tiga bulan selain mata kerap merah seperti mempunyai tekanan di bahagian mata.

Andi turut berkongsi nasihat doktor tentang pesakit hipertiroid yang perlu menjaga pemakanan selain tidak culas mengambil ubat mengikut jadual ditetapkan.

Pada masa sama, Andi menasihatkan orang ramai agar lebih berhati-hati membuat spekulasi terhadap perubahan fizikal seseorang apabila ada netizen yang mengatakan dia seperti seorang penagih dadah.

“Saya tidak salahkan mereka sebab mereka hanya nampak apa yang mereka nampak. Tetapi tidak adil bagi saya bila mereka terus buat kesimpulan tanpa tanya sama ada seseorang itu sakit atau tidak.

“Saya sebenarnya sedang berjuang dengan penyakit ini dan dalam masa sama sedang fokus untuk keluarkan album baharu pada tahun ini,” kongsinya lagi.

Menurutnya, keadaan fizikalnya juga semakin pulih apabila berat badannya kini kembali normal menghampiri 60 kilogram berbanding 45 kilogram sebelum ini.

“Saya masih menjalani rawatan di hospital. Dulu dua minggu sekali ambil darah, kemudian tiga minggu sekali dan sekarang hanya sebulan sekali (ambil darah) untuk doktor pantau bacaan tiroid,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, dia kini memberi perhatian serius terhadap diet dan gaya hidup sihat termasuk memastikan pengambilan makanan lima kali sehari.

Semalam, Andi mengeluarkan kenyataan bahawa dia mengalami penyakit hipertiroid di Instagram Storynya, apabila ada netizen yang mempertikaikan perubahan fizikalnya yang semakin kurus.

Bagaimanapun, Andi menjelaskan, video muzik itu dibuat pada tahun lalu dan tidak mengetahui ketika itu mengalami penyakit terbabit.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top