sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Juara bertahan, Melaka mudah mara ke suku akhir selepas menewaskan skuad muda Pulau Pinang 2-0 dalam aksi pusingan 16 terbaik Kejohanan Sepak Takraw Piala Emas Khir Johari (PEKJ) yang berlangsung di Akademi Sepak Takraw Malaysia, hari ini.
Regu pertama Melaka yang dibarisi Zarif Marican (tekong), Azlan Alias (perejam) dan Fakrul Razi Ismail (pengumpan) ternyata bukan lawan bagi regu Pulau Pinang yang diwakili Nabil Afiq Nasir (tekong), Nazirul Haziq Zahid (perejam) dan Ismail Nazri (pengumpan) apabila mudah menang straight set 15-6, 15-8.
Pulau Pinang cuba bangkit menerusi regu kedua untuk mengheret perlawanan ke regu ketiga, namun Imran Fazli (tekong), Adisyazmin Zurimanyadri (perejam) dan Hazieq Damian Hasbullah (pengumpan) tidak mampu merealisasikan perkara itu apabila tewas 10-15, 12-15 kepada barisan pemain Melaka, Azri Fahmi (tekong), Adam Ameerul (perejam) dan Danial Zakwan (pengumpan).
Ketua pasukan Melaka, Zaim Razali berpuas hati dengan prestasi rakan sepasukan, terutama regu kedua yang berjaya bangkit selepas tewas kepada Negeri Sembilan dalam aksi terakhir Kumpulan A semalam.
Untuk perlawanan pusingan lapan terbaik esok, Zaim menjangkakan aksi lebih sengit kerana Kuala Lumpur dibarisi pemain berpengalaman, namun tetap optimis Melaka akan melangkah ke separuh akhir.
“Untuk regu kedua, kami semua berpuas hati kerana semalam prestasi tidak menjadi. Jadi hari ini mereka buktikan pemain Melaka adalah antara yang terbaik bagi kategori belia.
“Perlawanan menentang Kuala Lumpur esok boleh dikatakan seimbang kerana masing-masing mempunyai pengalaman. Insya-Allah perlawanan ini akan menjadi sengit dan kami berharap dapat menang straight,” katanya yang ditemui selepas perlawanan.
Untuk keputusan lain, Kuala Lumpur berjaya menempah tiket ke suku akhir selepas menewaskan PDRM 2-0. Selangor turut mengesahkan tempat ke pusingan seterusnya selepas mengetepikan Penjara 2-0 dan akan bertemu Bomba yang menewaskan KPT-MASUM 2-1.
Sementara itu, Negeri Sembilan yang tidak beraksi hari ini kerana mendapat ‘bye’ akan berdepan Terengganu selepas wakil Pantai Timur itu mencatat kemenangan 2-0 ke atas Perak.
Selain itu, ATM seperti dijangka meneruskan kemaraan apabila menewaskan Sabah 2-0 dan akan bertemu Johor bagi merebut tiket ke peringkat empat terbaik.
Untuk makluman, semua perlawanan suku akhir akan diadakan esok, dengan aksi pertama bermula pada pukul 9 pagi, manakala separuh akhir dan final berlangsung pada Ahad.
© New Straits Times Press (M) Bhd




