De Zerbi mahu Spurs kembali menyerang

De Zerbi mahu Spurs kembali menyerang

London: Roberto De Zerbi menggesa Tottenham Hotspur kembali kepada identiti menyerang dalam usaha mengelak penyingkiran pertama sejak 1977.

Pengendali baharu Spurs itu mengakui masa semakin suntuk apabila hanya berbaki tujuh perlawanan untuk menyelamatkan pasukan yang kini berada di tangga ke-17 Liga Perdana Inggeris, hanya satu mata di atas zon penyingkiran.

De Zerbi yang mengambil alih sebagai pengurus ketiga musim ini menegaskan beliau tidak mempunyai masa untuk membina falsafah baharu secara berperingkat, sebaliknya mahu segera menerapkan keberanian menyerang dalam kalangan pemain.

“DNA kelab ini adalah menyerang dan menjaringkan gol. Saya mahu lihat semangat, keberanian dan karakter di atas padang,” katanya menjelang aksi pertama menentang Sunderland.

Spurs berdepan masalah besar musim ini apabila gagal mencatat kemenangan liga sepanjang 2026 selain hanya menjaringkan 40 gol, sekali gus memiliki perbezaan jaringan negatif.

Dalam masa sama, De Zerbi turut menerima tamparan awal apabila penyerang Mohammed Kudus mengalami kecederaan, namun beliau tetap optimis dengan pilihan pemain serangan lain seperti Randal Kolo Muani, Mathys Tel dan Richarlison.

Beliau turut menegaskan komitmennya untuk terus kekal bersama Spurs musim depan tanpa mengira keputusan, sambil menyifatkan misi menyelamatkan kelab itu sebagai cabaran terbesar dalam kariernya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top