8 sekeluarga tinggal sehelai sepinggan, dua rumah hangus terbakar

8 sekeluarga tinggal sehelai sepinggan, dua rumah hangus terbakar

‎am@hmetro.com.my

‎Kuala Terengganu: Lapan sekeluarga termasuk seorang kanak-kanak perempuan sindrom down berusia 13 tahun hilang tempat tinggal selepas rumah didiami mereka musnah dalam kebakaran di Kampung Buluh Gading, di sini, malam ini.

‎Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 malam itu, seorang wanita dewasa dilaporkan melecur pada jari, manakala tujuh lagi mangsa terselamat.

‎Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Thoiyibah Taib berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 9.35 malam sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi.

‎”Setibanya di tempat kejadian, kebakaran membabitkan dua rumah jenis separuh kekal dengan anggaran kemusnahan kira-kira 90 peratus,” katanya.

‎Beliau berkata, mangsa yang cedera telah dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk rawatan lanjut.

‎Operasi pemadaman melibatkan beberapa aliran hos dan bantuan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Marang serta pasukan sokongan lain sebelum api berjaya dikawal sepenuhnya kira-kira jam 10.01 malam dan operasi tamat pada jam 11.51 malam.

‎Punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

‎Sementara itu, Wahid Awang, 66, berkata, rumah yang dibinanya kita-kira 40 tahun lalu diberikan kepada anak lelaki, Mohd Izat, 37, untuk didiami bersama isteri dan dua anak lelaki berusia lapan dan empat tahun selepas membina kediaman lain di Gong Badak, Kuala Nerus.

‎Menurutnya ketika kejadian, anak, menantu dan dua cucunya keluar berkelah sambil memancing sotong di pantai.

‎”Saya menerima panggilan jam 9.30 malam selepas dan sebaik tiba kesemua bahagian rumah sudah hangus termasuk rumah didiami adik, Norhaslina, 52 yang tinggal bersebelahan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

‎Katanya, dia bersyukur kerana semua keluarga terselamat daripada kemalangan jiwa.

‎”Cuma adik, melecur sedikit pada jari ketika masuk ke dalam rumah untuk menyelamatkan barang-barang,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top