Monaco: Bintang tenis Sepanyol, Carlos Alcaraz terus mencuri tumpuan apabila mencatat kemenangan ke-300 dalam kariernya di peringkat jelajah ATP.
Pemain berusia 22 tahun itu mempamerkan aksi cemerlang apabila mudah menewaskan Alexander Bublik 6-3, 6-0 pada aksi suku akhir Terbuka Monte Carlo, sekali gus mara ke separuh akhir.
Kemenangan itu menyaksikan Alcaraz mencapai 300 kemenangan hanya dalam 367 perlawanan, menjadikannya pemain ketiga terpantas mencapai pencapaian berkenaan dalam Era Terbuka, sebaris dengan Rod Laver dan Jimmy Connors.
Lebih menarik, rekod itu turut mengatasi pencapaian ‘tiga legenda’ tenis dunia apabila dia lebih pantas berbanding Rafael Nadal (373 perlawanan), Novak Djokovic (398) dan Roger Federer (416).
Malah, Alcaraz juga mengatasi pencabar utamanya, Jannik Sinner yang memerlukan 384 perlawanan untuk mencapai 300 kemenangan.
Juara bertahan itu dijadual berdepan pemain bukan pilihan, Valentin Vacherot di separuh akhir kejohanan berkenaan.
Mengulas kemenangan ke atas Bublik, Alcaraz mengakui dia berdepan sedikit kesukaran sebelum berjaya mengawal permainan.
“Saya hampir mendahului dengan dua ‘break’ pada set pertama tetapi tidak berjaya memanfaatkannya. Kemudian saya sedikit hilang rentak, namun dia bermain dengan baik dan saya terpaksa bertahan.
“Saya berjaya menyelamatkan beberapa ‘game’ penting yang memberi keyakinan untuk kembali menguasai permainan dan bermain lebih agresif,” katanya.
Menurutnya, berdepan pemain seperti Bublik bukan tugas mudah kerana corak permainannya sukar dijangka.
“Saya fikir saya bermain dengan baik dan konsisten menentangnya. Dia pemain yang sukar diramal, tetapi saya gembira dapat mara ke separuh akhir di sini,” katanya.
Mengulas pencapaian 300 kemenangan, Alcaraz melahirkan rasa gembira dan berharap dapat menambah lebih banyak kejayaan selepas ini.
“Sudah tentu saya sangat gembira dengan kemenangan ke-300 dalam Jelajah ATP dan saya harap lebih banyak kejayaan akan menyusul selepas ini,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




