
Kedua-dua suspek kini didakwa mengikut Seksyen 288 undang-undang jenayah Thailand atas kesalahan membunuh dengan niat.
RATCHABURI – Seorang lelaki mengaku bersalah membunuh anak tirinya yang berusia setahun selepas memukul mangsa sebelum cuba menghidupkan semula kanak-kanak itu menggunakan alat menangkap ikan elektrik.
Suspek berusia 38 tahun, dikenali sebagai Surasak, mengaku kepada polis bahawa dia bertindak ganas terhadap mangsa, Khai, kerana berang apabila kanak-kanak itu menangis.
Menurutnya, dia menumbuk kepala mangsa sehingga tidak sedarkan diri.
Dalam usaha yang disifatkan tidak masuk akal, suspek kemudian menggunakan alat renjatan elektrik yang biasanya digunakan untuk menangkap ikan, dengan harapan kanak-kanak itu kembali sedar.
Bagaimanapun, mangsa yang mengalami pendarahan dari mulut dan hidung disahkan meninggal dunia di hospital.
Laporan perubatan mendapati punca kematian adalah kecederaan serius pada otak akibat hentakan objek keras.
Pemeriksaan lanjut turut menemui pelbagai kesan luka, lebam dan kesan terbakar pada bahagian belakang serta punggung mangsa, yang menguatkan unsur penderaan.
Polis dari Balai Polis Khao Din turut menyoal ibu mangsa, Saowarot, 30, yang mengakui pernah menyaksikan penderaan sebelum ini dan berada di lokasi ketika kejadian.
Dia mendakwa telah cuba menghalang tindakan ganas suaminya namun gagal.
Saowarot juga dilaporkan enggan menuntut jenazah anaknya di hospital, sebaliknya ibu wanita itu yang mengambil mayat tersebut untuk urusan pengebumian.
Siasatan mendapati wanita itu berada di bawah pengaruh dadah ketika soal siasat dijalankan.
Kedua-dua suspek kini didakwa mengikut Seksyen 288 undang-undang jenayah Thailand atas kesalahan membunuh dengan niat.
Jika sabit kesalahan, mereka berdepan hukuman mati, penjara seumur hidup atau penjara antara 15 hingga 20 tahun.


