KPDN patah cubaan sindiket curi 2,500L diesel subsidi

KPDN patah cubaan sindiket curi 2,500L diesel subsidi

harisfadli@hmetro.com.my

Shah Alam: Lori lima tan dengan tangki minyak diubahsuai mampu mengisi diesel sehingga 4,500 liter. Mereka juga memiliki lima fleet card Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) milik syarikat berbeza yang digunakan bagi mencuri komoditi itu kemudian dijual semula dengan untung berlipat kali ganda.

Taktik licik itu bagaimanapun berjaya dihidu pihak berkuasa yang mengekori dan memerhati gerak-geri mereka mencuri diesel di enam stesen minyak sepanjang Lebuhraya Shah Alam (KESAS) sebelum dipintas pasukan serbuan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Ketika diserbu, sindiket itu sudah berjaya mengepam kira-kira 2,500 liter diesel bersubsidi ke dalam tangki khas yang sudah diubahsuai lengkap dengan sistem pam untuk memindahkan minyak dari tangki asal lori terbabit.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDN Kuala Lumpur, Mohd Shahran Mohd Arshad berkata, serbuan dijalankan pasukan Petugas Khas yang dijalankan khusus bagi membanteras penyelewengan diesel dan petrol bersubsidi.

Menurutnya, dua lelaki berusia 20-an disyaki ahli sindiket yang berperanan sebagai pemandu lori ditahan dalam serbuan di sebuah stesen minyak di Lebuhraya KESAS di sini, lewat malam semalam.

“Berdasarkan maklumat daripada risikan yang kita perolehi, modus operandi mereka ini adalah menggunakan pelbagai jenis fleet card untuk mengisi minyak diesel di stesen di sekitar Lembah Klang sebelum dibawa ke lokasi tempat penyimpanan.

“Kes pada hari ini, pihak kita mengekori lori ini bermula daripada sepanjang lebuh raya (KESAS) daripada satu stesen ke stesen yang lain,” katanya kepada Harian Metro ketika ditemui di lokasi serbuan di sini, awal pagi hari ini.

Mohd Shahran berkata, siasatan awal mendapati dua suspek terbabit disyaki menyalahgunakan fleet card berkenaan untuk mengisi sekitar 100 liter ke 250 liter diesel bersubsidi di setiap stesen minyak terbabit.

Katanya, diesel yang dipam ke dalam tangki minyak asal lori berkenaan dipindahkan ke tangki besar di bahagian kargo menggunakan sistem pam dan saluran yang diubahsuai khas bagi mengelirukan pihak berkuasa.

“Suspek ini tugas mereka hanyalah sebagai pekerja yang mana tugas mereka akan mengutip minyak di stesen yang berkait dengan fleet card yang berkenaan.

“Seterusnya, setelah penuh muatan di dalam tangki yang kita tengok di belakang ini, minyak akan dibawa ke satu lokasi yang mana pihak sindiket akan mengambil lori ini. Berdasarkan soal siasat mereka dipercayai menerima upah RM300 bagi setiap trip,”katanya.

Menurutnya, minyak diesel yang dibeli pada harga bersubsidi itu dipercayai akan dijual semula oleh sindiket berkenaan kepada industri berkaitan pada harga lebih tinggi bagi mengaut keuntungan mudah.

Katanya, KPDN Kuala Lumpur khususnya memandang berat masalah penyelewengan itu khususnya ketika negara berhadapan krisis tenaga global susulan konflik di Asia Barat.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top