harisfadli@hmetro.com.my
Shah Alam: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kuala Lumpur menubuhkan pasukan Petugas Khas bagi membanteras penyelewengan diesel serta petrol bersubsidi selaras dengan Ops Tiris 4.0.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDN Kuala Lumpur, Mohd Shahran Mohd Arshad berkata, pasukan itu akan melakukan pemantauan yang lebih intensif di samping penugasan harian.
“Dengan Task Force ini pihak kita akan menjalankan rondaan dan juga risikan dalam keadaan berpakaian preman, bukan beruniform dan kenderaan pun kita tak gunakan kenderaan jabatan.
“Ini lebih kepada tujuan bagi mengenal pasti sindiket-sindiket dan juga mengenal pasti modus operandi yang dilakukan oleh pihak sindiket agar kita dapat membanteras aktiviti haram ini,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini hari ini.
Terdahulu Harian Metro melaporkan KPDN Kuala Lumpur mematahkan cubaan sebuah sindiket mencuri 2,500 liter diesel bersubsidi di sebuah stesen minyak di Lebuhraya Shah Alam (KESAS) di sini, lewat malam Jumaat.
Mengulas lanjut Mohd Shahran berkata, pasukan itu diatur gerak secara khusus di ibu negara bersama Ops Tiris Bersepadu 4.0 yang dijalankan di seluruh negara.
Justeru beliau memberi amaran keras kepada mana-mana pihak yang cuba menyeleweng diesel dan petrol bersubsidi serta memberi jaminan tindakan tegas tanpa kompromi akan dikenakan kepada semua pihak yang terbabit.
Pada masa sama beliau meminta bantuan orang ramai untuk menyalurkan maklumat berkaitan penyelewengan petrol dan diesel bersubsidi kepada pihak KPDN menerusi saluran aduan rasmi bagi membantu membanteras kegiatan haram ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd



