Kerajaan bersetuju menempatkan anggota polis di stesen minyak di seluruh negara sebagai langkah memperkukuh pemantauan dan penguatkuasaan susulan peningkatan risiko ketirisan bahan api akibat krisis tenaga global.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada 8 April lalu, sebagai peluasan kepada penempatan statik penguat kuasa kementerian berkenaan yang dilaksanakan sejak 20 Mac.
“Penguat kuasa KPDN telah ditempatkan secara berkala di stesen-stesen minyak di sekitar kawasan sempadan seluruh negara.
“Susulan daripada pembentangan laporan Jawatankuasa Tertinggi Penyelarasan Antara Agensi Penguatkuasaan Bagi Membanteras Ketirisan dan Penyeludupan (JTPAP) dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN), didapati wujud keperluan memperluas liputan pemantauan statik ke seluruh stesen minyak berhampiran sempadan dan kawasan berisiko tinggi,” katanya, hari ini.

Menurutnya, penglibatan polis amat diperlukan mengambil kira kekangan jentera penguat kuasa sedia ada serta keperluan pemantauan lebih teliti terhadap status bekalan dan harga barangan di seluruh negara.
“Fasa pertama bermula 20 Mac hingga 10 April 2026, penempatan secara statik penguat kuasa KPDN telah dilaksana di 87 stesen minyak, dan akan disusuli di 70 lagi stesen dalam fasa dua bermula minggu depan yang akan melibatkan anggota Polis.
“Kita akan terus memantau risiko dan keperluan peluasan lebih menyeluruh dari semasa ke semasa.
“Saya juga telah berbincang dengan menteri (menteri dalam negeri) untuk mempertimbangkan keperluan penglibatan sukarelawan RELA dalam proses pemantauan secara statik di stesen-stesen minyak ini,”katanya lagi.
Artikel lain: Mencukupi! Armizan tepis dakwaan, tiada kekurangan bekalan bahan api negara
Sementara itu, Armizan berkata pelaksanaan Inisiatif Ihsan Food Bank (i-FB) sepanjang Ramadan lalu berjaya menyelamatkan lebihan makanan dalam skala besar menerusi kerjasama pelbagai pihak.
“Ikhtiar ini telah berjaya menyelamatkan sejumlah 71.3 tan lebihan makanan. Bagi negeri Sabah, sebanyak 2.6 tan makanan berjaya diselamatkan dan telah diagihkan kepada golongan yang memerlukan.
“Program ini telah dilaksanakan di 119 bazar Ramadan di seluruh negara dengan penglibatan 2,875 sukarelawan.
“Pencapaian itu jelas menunjukkan keberkesanan pendekatan bersepadu dalam meminumkan pembaziran makanan, dan memperluas manfaat kepada komuniti yang memerlukan, sekali gus memelihara alam dengan mengurangkan pelepasan karbon dioksida,”ujar beliau.




