Paris: Polis Perancis menahan seorang lelaki berusia 43 tahun yang dituduh mengurung anak lelakinya yang berusia sembilan tahun di dalam sebuah van penghantaran selama lebih setahun, kata pendakwa raya pada Jumaat, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Kes itu terbongkar selepas jiran melaporkan bunyi yang mencurigakan, sekali gus mendorong pegawai polis untuk melakukan siasatan.
Kanak-kanak itu kemudiannya ditemukan dalam keadaan tanpa berpakaian dan kebuluran di dalam kenderaan yang diletakkan di halaman sebuah blok pangsapuri di Hagenbach, sebuah kampung di wilayah Alsace berhampiran sempadan Jerman dan Switzerland.
Bapanya tinggal di sebuah pangsapuri di bangunan tersebut.
Budak itu berkata dia telah dikurung di dalam van antara September dan Disember 2024 dan kali terakhir mandi pada penghujung tahun berkenaan.
Dia ditemukan terbaring dalam posisi janin di bawah selimut, bersebelahan dengan najis di dalam van tersebut.
Selepas pengurungan yang lama, dia tidak lagi mampu berjalan ketika ditemui, kata pendakwa raya Nicolas Heitz.
Kanak-kanak itu dibawa ke sebuah klinik di bandar timur Mulhouse.
Teman wanita lelaki itu juga turut ditahan.
Bapa mangsa bersama teman wanita dan dua anak perempuan berusia 10 serta 12 tahun menetap di pangsapuri berkenaan, ketika kanak-kanak itu dikurung di dalam van tersebut.
Semasa disoal siasat, kanak-kanak itu memberitahu dia sering menghadapi masalah dengan teman wanita bapanya yang tidak mahu dia tinggal di pangsapuri tersebut.
Wanita itu juga sering mendesak agar dia dihantar ke pusat rawatan psikiatri.
Bapa itu mendakwa dia mengurung anaknya di dalam van bermula November 2024 sebagai cara untuk menghalang anaknya daripada dihantar ke pusat jagaan psikiatri, sambil menambah bahawa budak itu dibenarkan pulang seketika ke pangsapuri semasa percutian keluarga pada musim panas 2025.
Teman wanita lelaki itu menafikan penglibatannya dan mendakwa dia langsung tidak mengetahui tentang pengurungan itu, sebaliknya percaya bahawa budak tersebut sudah pun dihantar ke kemudahan psikiatri.
Sementara itu, ahli keluarga yang lain turut mendakwa mereka tidak menyedari situasi sebenar yang berlaku.
Kakak budak itu yang berusia 12 tahun memberitahu polis bahawa dia telah tinggal bersama bapanya selama empat atau lima tahun kerana ibu mereka mengalami masalah kesihatan mental.
Sementara itu, anak perempuan lelaki itu yang lain, yang juga tinggal di pangsapuri bersama bapa dan pasangannya, memberitahu penyiasat bahawa bapanya menggunakan van tersebut untuk berulang-alik setiap hari.
Keluarga itu berpindah ke Hagenbach, sebuah kampung dengan kira-kira 800 penduduk, pada awal 2024.
Kakak kandung budak itu berkata dia tidak melihat adiknya sejak permulaan sesi persekolahan 2024 dan memerhatikan bapanya kerap meninggalkan pangsapuri untuk pergi ke van.
Penyiasat berkata bapa itu memantau van berkenaan dengan kamera video dan melawatnya dua kali sehari untuk meninggalkan bekalan.
Budak itu memberitahu pihak berkuasa bahawa dia diberi makanan dan air tetapi hanya mempunyai sebuah beg galas berisi pakaian, dan terpaksa membuang air kecil di dalam botol plastik serta menggunakan beg sampah.
Pendakwa Heitz menegaskan bahawa tiada bukti perubatan yang menyokong dakwaan bahawa budak itu mengalami masalah psikiatri.
Rekod menunjukkan dia merupakan pelajar cemerlang di Mulhouse sepanjang sesi persekolahan 2023-24.
Pihak berkuasa juga sedang menyiasat sama ada orang lain mungkin menyedari situasi kanak-kanak itu tetapi gagal untuk campur tangan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




