Polis ditempatkan di 80 stesen minyak di kawasan sempadan

Polis ditempatkan di 80 stesen minyak di kawasan sempadan

PADANG BESAR: Kira-kira 80 stesen minyak berhampiran kawasan sempadan akan ditempatkan anggota polis yang bakal ditugaskan memantau dan mengekang ketirisan serta penyeludupan petrol dan diesel.

Langkah tersebut diputuskan oleh Kabinet minggu lalu susulan krisis di Asia Barat yang menyaksikan lonjakan harga bahan api tersebut.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, arahan terbaharu Kabinet meminta polis turut mengatur gerak bagi mengawasi stesen minyak berdekatan sempadan supaya tidak berlaku aktiviti penyeludupan.

Katanya, pemantauan ketat tersebut perlu dilakukan memandangkan bebanan subsidi kerajaan untuk petrol dan diesel telah melonjak secara drastik susulan krisis di Asia Barat.

“Penugasan tersebut akan tertumpu kepada lebih 80 stesen minyak yang dikenal pasti berhampiran garis sempadan. 80 stesen tersebut daripada keseluruhan lebih 4,000 stesen minyak di seluruh negara.

Pelaksanaan itu perlu disegerakan dengan anggota akan terus digerakkan.

“Bagaimanapun, pihak polis juga akan memastikan tugas hakiki lain seperti membanteras jenayah narkotik, trafik dan jenayah komersial tidak terganggu atau dikompromi,” katanya ketika ditemui selepas melakukan lawatan kerja dan pemantauan operasi kawalan sempadan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di sini, hari ini.

Saifuddin memberitahu, sebelum krisis Asia Barat, kerajaan membelanjakan lebih RM700 juta sebulan untuk subsidi petrol dan diesel secara bersasar.

Katanya, bagaimanapun, selepas krisis tercetus, tanggungan subsidi bahan api itu melonjak sehingga mencecah hampir RM6 bilion sebulan.

“Jika ketirisan akibat perbezaan harga dan aktiviti peralihan saluran (channel shifting) ini tidak dikawal, ia akan memberi kesan ekonomi yang sangat parah kepada negara,” katanya.

Sementara itu, beliau memberitahu, dari tempoh 1 Januari 2025 hingga 31 Mac lalu, pihak berkuasa mengagalkan 735 kes penyeludupan melibatkan 1,460 individu ditangkap.

“Ia melibatkan nilai rampasan keseluruhan bernilai RM2.81 bilion. Statistik tersebut sebelum perang Amerika Syarikat (AS) dan Iran. Perang berkenaan bermula 28 Februari

“Corak atau pola penyeludupan selepas perang sudah pasti meningkat. Peperangan memberi kesan kepada perubahan harga minyak ketara dan ianya dituruti dengan peningkatan angka penyeludupan.

“Arahan oleh Kabinet agar kita meneruskan usaha meningkatkan tahap kesiapsiagaan dalam membendung aktiviti penyeludupan ini,” katanya.-UTUSAN

Scroll to Top