ISTANBUL/KARACHI – Naib Presiden Amerika Syarikat (AS), JD Vance tiba di ibu negara Pakistan, Islamabad pada Sabtu bagi memulakan rundingan penting dengan Iran untuk menamatkan konflik di Asia Barat ketika gencatan senjata dua minggu sedang berlangsung, lapor Anadolu Ajansi.
Pesawat yang membawa delegasi itu mendarat di Pangkalan Udara Nur Khan, Tentera Udara Pakistan berhampiran Islamabad pada 10.29 pagi waktu tempatan (0529 GMT).
Ketibaan delegasi AS itu disambut oleh Menteri Luar Ishaq Dar, Panglima Angkatan Tentera Jeneral Asim Munir, Menteri Dalam Negeri Mohsin Naqvi serta pegawai-pegawai kanan AS.
Menurut kumpulan media Rumah Putih, Vance tiba di Hotel Serena pada waktu tengah hari selepas singgah seketika di Kedutaan AS.
Sementara itu, Speaker Parlimen Iran Bagher Ghalibaf bersama delegasinya termasuk Menteri Luar Abbas Araghchi dan Timbalan Majlis Keselamatan Kebangsaan Ali Bagheri Kani, telah tiba lebih awal pada pagi Sabtu.
Pakistan menjadi tuan rumah kepada rundingan bersejarah itu yang dikenali sebagai “Rundingan Islamabad”. Rundingan berkenaan dijangka diadakan secara langsung serta tidak langsung dan bermula sekitar jam 1000 GMT.
Semasa mengalu-alukan ketibaan Vance, Dar memuji “komitmen AS untuk mencapai keamanan dan kestabilan serantau serta global yang berterusan.”
Beliau turut menzahirkan harapan agar semua pihak terlibat secara konstruktif dan menegaskan semula kesediaan Pakistan untuk terus memudah cara usaha ke arah penyelesaian konflik yang kekal.
Dua lagi pesawat yang membawa ahli delegasi AS dan pengamal media turut mendarat di pangkalan udara yang sama. Antara ahli delegasi AS yang lain termasuk Utusan Khas Steve Witkoff dan menantu Presiden Donald Trump, Jared Kushner.
Ini merupakan lawatan pertama Naib Presiden AS ke Pakistan sejak tahun 2011.
Rundingan yang diatur oleh Pakistan itu diadakan di lokasi yang tidak didedahkan di ibu negara yang dikawal ketat dan mungkin berlarutan selama “beberapa hari”, menurut pegawai Pakistan.
Dar akan mewakili Islamabad dalam rundingan itu yang disifatkan oleh Perdana Menteri Shehbaz Sharif sebagai “penentu dalam usaha mendapatkan gencatan senjata kekal.”
Kedua-dua delegasi itu juga dijadualkan bertemu Sharif secara berasingan, lapor Anadolu yang memetik kenyataan pegawai kanan kerajaan.
Beberapa lokasi telah disediakan untuk Rundingan Islamabad termasuk pejabat Perdana Menteri serta lokasi di dalam zon keselamatan.
Islamabad kini menjadi tumpuan dunia selepas Pakistan berjaya mengusahakan gencatan senjata selama dua minggu pada Rabu, susulan pertempuran yang bermula sejak 28 Februari lepas apabila AS dan Israel melancarkan serangan terhadap Iran.
Menurut pihak berkuasa Iran, hampir 3,000 rakyatnya terkorban, manakala konflik itu turut menyebabkan sekurang-kurangnya 13 anggota tentera AS maut dan berpuluh-puluh lagi cedera, selain menjejaskan laluan utama penghantaran minyak di Selat Hormuz. – Bernama



