syafil.syazwan@hmetro.com.my
Petaling Jaya: “Saya dengan Julia baik-baik saja, tak ada masalah atau isu,” kata pempengaruh, Dr Che Hafiz Che Baharum berhubung spekulasi yang melanda rumah tangganya dengan pelakon, Julia Farhana Marin.
Menurutnya, setiap fasa dalam kehidupan suami isteri adalah satu lumrah yang tidak lari daripada ujian dan pasang surut.
“Itu biasa, manalah rumah tangga yang tak ada ujiannya, kan? Tapi apa yang saya boleh katakan, kami baik-baik saja, tak ada masalah, tak ada isu apa-apa, okey saja,” katanya ketika ditemui, hari ini.
Mengulas mengenai tindakan mereka yang dikatakan tidak lagi mengikuti akaun media sosial masing-masing serta ketiadaan gambar bersama ketika Aidilfitri, Che Hafiz memilih untuk tidak mengulas lanjut.
“Yang pasal ini (Aidilfitri), ada saja beraya, cuma tak muat naik gambar. Itu sajalah. Cuma yang itu saya tak nak komen dengan lebih jelas atau terperinci. Kerja macam biasa, tak ada apa-apa masalah,” katanya.
Ditanya sama ada tindakan ‘mengasingkan’ hal peribadi di media sosial itu bertujuan untuk meredakan ketegangan, Che Hafiz menyifatkan dia memerlukan ruang untuk bertenang apabila timbul sesuatu spekulasi.
“Kita perlukan masa untuk tenang dan sebagainya. Tapi pada masa yang sama, kita tak boleh nak tutup mulut orang juga, masyarakat yang berkata-kata sebab itu lumrah kehidupan.
“Saya nak puaskan hati semua orang pun tak mampu. Kesimpulannya, kami berada dalam keadaan baik-baik saja,” katanya.
Katanya, dia dan isteri mengambil pendekatan positif dalam mendepani khabar angin yang bertebaran kerana menyedari setiap tindakan pasti akan ada pro dan kontranya.
“Jadi, kita ambilnya secara positif. Macam-macam boleh berlaku, tapi apa yang saya boleh katakan, kami berdua baik-baik saja dan saya mohon kamu semua untuk doakan yang baik-baiklah,” katanya.
Terdahulu, timbul spekulasi dan dakwaan bahawa Che Hafiz dan Julia yang berumah tangga pada 14 Disember 2020 tidak lagi tinggal sebumbung dan beraya berasingan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




