Warga emas panjat dinding luar bangunan 27 tingkat selepas terkunci dalam bilik

Warga emas panjat dinding luar bangunan 27 tingkat selepas terkunci dalam bilik
Warga emas panjat dinding luar bangunan 27 tingkat selepas terkunci dalam bilik

Warga emas berusia 89 tahun dilihat memanjat bangunan setinggi 27 tingkat untuk turun mendapatkan bantuan selepas terkunci di dalam bilik tidurnya.

BEIJING – Tindakan berani warga emas berusia 89 tahun memanjat dinding luar bangunan kediaman dari tingkat 27 hingga 21 demi menyelamatkan diri mendapat perhatian meluas di media sosial.

Situasi mencemaskan itu disedari oleh seorang pekerja pembersihan dan pengawal keselamatan yang terdengar suara lemah meminta bantuan dari bawah.

Menurut saksi, mereka kemudian melihat wanita tersebut berpaut kuat pada besi pelindung penyaman udara di dinding luar bangunan.

Kedua-duanya segera menghubungi pihak polis sambil menjerit meminta wanita itu kekal di tempatnya sementara bantuan tiba.

Namun, wanita itu terus menuruni bangunan secara perlahan walaupun pasukan bomba sedang dalam perjalanan.

Dalam keadaan keletihan, wanita itu akhirnya berhenti di tingkat 21, kira-kira 50 meter dari aras tanah.

Pasukan bomba yang tiba terpaksa menjalankan operasi menyelamat dari dalam bangunan kerana risiko tinggi jika turut memanjat bahagian luar.

Mereka terlebih dahulu memasang tali keselamatan pada wanita tersebut sebelum memotong sebahagian besi pelindung bagi membolehkannya duduk di platform penyaman udara untuk berehat. Mangsa juga diberikan jaket dan air minuman.

Siasatan lanjut mendapati wanita tersebut tinggal bersendirian di tingkat 27.

Beliau dipercayai secara tidak sengaja terkunci diri di dalam bilik tidur, manakala telefon bimbitnya tertinggal di ruang tamu, menyebabkan dia mengambil keputusan berbahaya untuk keluar melalui tingkap demi mendapatkan bantuan.

Insiden itu mengundang pelbagai reaksi dalam talian, dengan ramai memuji keberanian wanita tersebut, selain mengingatkan kepentingan langkah keselamatan bagi warga emas yang tinggal bersendirian. – Agensi

Scroll to Top