syafil.syazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Selepas hampir dua tahun kembali memegang status solo, pelakon dan personaliti media sosial, Ira Kazar mendedahkan dia kini lebih selektif dalam memilih pasangan hidup.
Ira atau nama sebenarnya, Faghira Fatini Kazaruddin, 31, berkata dia kini lebih tertarik kepada lelaki yang mempunyai kematangan tinggi, terutama dalam mengendalikan situasi sukar atau konflik.
“Dia mestilah seorang yang bijak, tahu kawal situasi terutama bila ada konflik. Bagi saya itu sangat penting,” katanya kepada Harian Metro
Bercerita lanjut mengenai ciri-ciri lelaki idamannya, bekas isteri kepada pengarah popular Syamsul Yusof ini lebih selesa sekiranya bakal suaminya kelak bukan dalam kalangan penggiat seni.
“Kalau boleh bukan orang industri, biasa-biasa tetapi ada status juga. Tapi, biarlah sedap mata memandang,” katanya.
Walaupun mengakui ada individu cuba mendekati untuk berkenalan, Ira ketika ditemui di Rumah Terbuka All Star Influencers, di sini, semalam menyifatkan hubungan itu belum sampai ke tahap serius.
Katanya, kegagalan rumah tangga lalu tidak menjadikannya serik untuk berkahwin lagi, sebaliknya mengajarnya untuk lebih teliti dalam menilai latar belakang seseorang.
“Saya tidak serik kerana setiap manusia berbeza. Tak bolehlah anggap semua lelaki sama. Cuma sekarang saya lebih berhati-hati dan akan tengok latar belakang terlebih dahulu.
“Dulu mungkin saya tidak terlalu pandang perkara itu, saya anggap kekurangan boleh diterima, tapi sekarang tidak lagi. Perlu pertimbangkan sebaiknya,” katanya.
Untuk rekod, Ira dan Syamsul mendirikan rumah tangga pada 6 Januari 2023 di Selatan Thailand sebelum disahkan bercerai pada 5 September 2024.
© New Straits Times Press (M) Bhd


