Penantian 17 tahun, empat beradik dijemput jadi tetamu Allah

Penantian 17 tahun, empat beradik dijemput jadi tetamu Allah

am@hmetro.com.my

Shah Alam: Dijemput menjadi tetamu Allah pada musim haji tahun ini adalah rezeki terindah buat empat beradik selepas 17 tahun menunggu.

Abdul Aziz Hafiz Mohd Fadzil, 31 berkata, selain tiga adik iaitu Nur Atiqah, 30; Nur Hafifah, 29 dan Abdur Rahman, 27, isteri beliau, Nur Shazwani Mohd Radzi, 31 juga berpeluang mengerjakan Rukun Islam kelima itu.

Beliau berkata, rezeki berkenaan juga hasil inisiatif ibu bapa mereka yang mendaftarkan nama mereka untuk giliran haji pada 2009.

“Alhamdulillah, kami empat beradik dipanggil pada tahun ini hasil usaha mak dan ayah yang mendaftarkan nama serta menabung untuk kami termasuk memasukkan duit raya kami ke dalam akaun simpanan.

“Bila masing-masing sudah bekerja, kami pula masukkan simpanan sikit-sikit dan Alhamdulillah mencukupi apabila nama dipanggil.

“Perasaan memang sangat gembira selain berdebar kerana membawa isteri serta adik-adik bersama manakala mak ayah kami sudah mengerjakan haji pada tahun 1997 dan kini tiba giliran kami pula,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Kursus Perdana Haji Peringkat Negeri Selangor Musim Haji Tahun 1447 Hijrah di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini, hari ini.

Beliau berkata, mereka empat beradik dimaklumkan terpilih sebagai jemaah haji tahun ini sekitar Oktober tahun lalu dan isterinya membuat rayuan untuk ikut bersama.

Sementara itu, adik bongsu Abdul Aziz Hafiz, Abdur Rahman berkata beliau dan kakaknya sempat menunaikan umrah pada tahun lalu sebagai persiapan sebelum mereka sekeluarga mengerjakan haji.

“Saya dan kakak pergi tinjau dulu keadaan di sana untuk biasakan diri dan berharap ia sedikit sebanyak memudahkan perjalanan kami nanti.

“Saya juga sangat bersyukur mak ayah ada kesedaran untuk daftarkan (haji) ketika kami kecil dan kami tidak menunggu terlalu lama untuk ke tanah suci,” katanya.

Abdul Aziz Hafiz, isteri serta tiga adiknya akan berangkat ke tanah suci pada 23 April ini.

Mereka antara lebih 8,000 jemaah Selangor yang terpilih menjadi tetamu Allah bagi musim haji 1447 Hijrah.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top