Babi liar kerap muncul, penduduk bimbang keselamatan

Babi liar kerap muncul, penduduk bimbang keselamatan

syazrina@hmetro.com.my

Ampang: Kewujudan babi liar yang dilaporkan berkeliaran di sekitar kawasan perumahan Taman Bukit Indah dan Taman Kosas di sini menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk.

Tinjauan Harian Metro pada jam 10 pagi hingga 12 tengah hari, hari ini bagaimanapun tidak menemukan kelibat haiwan berkenaan di lokasi terbabit.

Hasil temu bual bersama beberapa penduduk mendapati isu kehadiran babi liar itu bukan berlaku dalam tempoh singkat, sebaliknya sudah berlarutan sejak bertahun-tahun.

Difahamkan juga, setakat pengetahuan penduduk, tiada sebarang aduan rasmi pernah dibuat kepada Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) berhubung isu berkenaan.

Walaupun tiada kes kecederaan dilaporkan, penduduk mengakui berasa bimbang memandangkan kawasan itu adalah penempatan awam yang mempunyai sekolah dan lokasi riadah selain haiwan itu dilaporkan keluar pada waktu pagi serta petang dari kawasan hutan berhampiran.

Penduduk memaklumkan, haiwan berkenaan tidak menunjukkan tingkah laku agresif dan setakat ini tidak pernah mengganggu orang awam.

Bagi seorang peniaga yang menetap di Taman Kosas di sini, Hafiz Aznol, 39, berkata, hanya seekor babi liar dilihat kerap berkeliaran di kawasan itu dan dipercayai haiwan sama sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Katanya, dalam tempoh tiga tahun lalu, tiada sebarang kes kecederaan dilaporkan walaupun haiwan berkenaan sering melintas jalan dan melalui kawasan perumahan.

“Saya anggarkan, sejak anak saya masih bayi sehingga kini berusia kira-kira tiga tahun, haiwan itu sudah berkeliaran di sini dan sekarang kelihatan makin kerap keluar.

“Pernah juga beberapa kali ketika berniaga, saya melihat haiwan itu berkeliaran, tetapi tidak mengganggu orang,” katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, babi liar itu juga pernah dilihat melalui kawasan berhampiran sekolah sehingga mencetuskan panik dalam kalangan murid sekolah.

Bagaimanapun, katanya, haiwan itu tidak menyerang sebaliknya akan melarikan diri kerana turut kelihatan takut dan panik apabila terserempak dengan manusia.

Hafiz berkata, situasi itu tetap menimbulkan kebimbangan memandangkan kawasan berkenaan mempunyai banyak sekolah selain haiwan itu turut dilaporkan keluar pada waktu pagi dan petang.

Seorang penduduk yang ditemui wartawan ketika melakukan senaman pagi di Taman Mini Botani di sini, Hidayah Che Din, 24, berkata, kehadiran babi liar di kawasan itu sudah lama berlaku dan bukan lagi perkara asing kepada penduduk.

“Sampaikan isu ini tular di media sosial penduduk tempatan di sini, tetapi setakat yang saya dengar belum ada kes kecederaan dan difahamkan juga tiada laporan rasmi pernah dibuat kepada pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Pernah juga haiwan itu dilihat keluar dari kawasan hutan berhampiran hingga ke taman perumahan lain yang jaraknya agak jauh dan perlu menaiki kenderaan. Mungkin ia keluar untuk mencari makanan sahaja,” katanya.

Namun, dia berharap pihak berkuasa dapat memantau keadaan itu bagi memastikan keselamatan penduduk terus terjamin.

Susulan itu, Harian Metro sedang mendapatkan maklum balas daripada MPAJ bagi mendapatkan penjelasan lanjut berhubung isu berkenaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top