Bangkok: Thailand akan meningkatkan elaun barangan keperluan bermula esok bagi membantu mengurangkan kesan ekonomi akibat perang di Timur Tengah yang khususnya menjejaskan petani, pemilik perniagaan kecil dan golongan ‘rentan’.
Kementerian Kewangan dalam satu taklimat media pada Sabtu memaklumkan bahawa lebih 13 juta rakyat Thailand yang memiliki kad bantuan sosial akan menerima kenaikan elaun bulanan daripada 300 baht kepada 400 baht (kira-kira RM39 kepada RM52) untuk perbelanjaan harian.
Menteri Kewangan, Ekniti Nitithanprapas berkata, langkah itu bertujuan melindungi golongan rentan serta mengelak kesan ekonomi itu daripada merebak ke sektor lain.
Selain itu, petani dan pemilik perniagaan kecil juga boleh memanfaatkan pinjaman berkadar keutamaan termasuk individu yang ingin membeli kenderaan elektrik atau memasang panel solar.
Kerajaan juga meluluskan subsidi bagi pengusaha pengangkutan menjelang sambutan Tahun Baharu Thai atau “Songkran”.
“Cabaran ini bersifat jangka panjang. Oleh itu, kami bukan sahaja melaksanakan langkah jangka pendek tetapi juga mempersiapkan orang awam dan usahawan untuk menyesuaikan diri dengan kemungkinan kenaikan kos tenaga dan produk,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




