Cubaan seludup diesel RM5.43 juta tumpas, dua kapal tangki ditahan

Cubaan seludup diesel RM5.43 juta tumpas, dua kapal tangki ditahan

am@hmetro.com.my

Georgetown: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang mematahkan cubaan pemindahan kira-kira 700,000 liter minyak diesel secara haram membabitkan dua kapal tangki di perairan Bagan Ajam, malam tadi.

Pengarah Maritim Pulau Pinang, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, tindakan itu dibuat hasil maklumat risikan diterima pada jam 10.45 pagi semalam, berhubung pergerakan mencurigakan dua kapal yang bersauh di lokasi berkenaan.

Susulan maklumat itu, satu Operasi Bersepadu digerak bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Pulau Pinang sebelum sebuah bot peronda Maritim Malaysia dihantar ke lokasi bagi tujuan pemeriksaan.

“Didapati kedua-dua kapal berada dalam keadaan bergandingan dan disyaki menjalankan aktiviti pemindahan minyak dari kapal ke kapal (ship-to-ship transfer) tanpa kebenaran.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati aktiviti itu membabitkan pemindahan minyak diesel Euro 5 dengan anggaran sebanyak 700,000 liter, manakala keseluruhan rampasan minyak dianggarkan mencecah 800,000 liter,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Muhammad Suffi berkata, seramai 22 kru ditahan terdiri daripada warga Malaysia, Myanmar, Rusia, Filipina dan Indonesia di atas kedua-dua kapal berkenaan.

“Keseluruhan rampasan dianggarkan mencecah RM2.33 bilion, menjadikan kes berkenaan antara tangkapan berprofil tinggi di perairan negara tahun ini.

“Nilai itu merangkumi kedua-dua kapal tangki serta muatan diesel Euro 5 yang cuba diseludup dianggarkan bernilai RM5.43 juta,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 491B (1)(k) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana melakukan aktiviti pemindahan kapal ke kapal tanpa kebenaran Ketua Pengarah Jabatan Laut Malaysia.

Katanya, kesalahan itu boleh dikenakan denda sehingga RM200,000 ke atas setiap vesel.

“Siasatan turut dijalankan mengikut Akta Kastam 1967 berikutan kegagalan mengemukakan dokumen berkaitan pemindahan minyak serta pengisytiharan kargo.

“Semua kru dan kapal yang ditahan kemudiannya dibawa ke jeti sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Negeri Pulau Pinang bagi tindakan lanjut.

“Maritim Malaysia terus memperketat rondaan dan pemantauan bagi membanteras aktiviti pemindahan minyak secara haram di perairan negara,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top