VIENNA – Seorang aktivis yang menetap di Norway menyifatkan Israel semakin berubah menjadi sebuah masyarakat dan negara yang ekstrem, selepas beliau bertindak membakar pasport negara itu sebagai tanda protes terhadap konflik di Gaza, lapor Anadolu.
Mia Sol Stoelen, yang merupakan anak kepada bapa Israel dan ibu Norway berkata, pengalaman tinggal selama tujuh tahun di Tel Aviv,Israel, membuka matanya terhadap realiti di wilayah Palestin.
Menurut beliau, pada awalnya beliau tidak melihat situasi tersebut sebagai satu bentuk penjajahan, sebaliknya menganggap masyarakat di sana hidup bersama secara aman.
Namun, pandangannya berubah selepas menyedari keadaan sebenar di Tebing Barat dan Gaza.
“Saya sedar sebelum ini saya sangat tidak memahami situasi sebenar. Lawatan ke Tebing Barat membuka mata saya terhadap apa yang berlaku,” katanya baru-baru ini.
Stoelen turut merujuk kepada insiden pembunuhan beramai-ramai pada tahun 1995 oleh pelampau Yahudi, Baruch Goldstein, di Masjid Ibrahimi di Hebron sebagai contoh ketegangan yang berlarutan.
Beliau menyatakan terdapat kawasan tertentu di Hebron yang tidak boleh diakses oleh rakyat Palestin, termasuk jalan utama yang hanya dibuka kepada warga Israel dan pelawat asing.
Menurut Stoelen, keadaan politik dalaman Israel sebelum serangan 7 Oktober menunjukkan ketegangan yang serius apabila ratusan ribu rakyat mengadakan demonstrasi setiap minggu menentang kerajaan.
Beliau turut mendakwa pembunuhan bekas Perdana Menteri Israel, Yitzhak Rabin, telah menyebabkan ramai golongan intelektual meninggalkan negara itu, sekali gus mengubah komposisi masyarakat.
“Golongan yang datang kini lebih cenderung kepada ideologi ekstrem, dan ini mewujudkan masyarakat yang semakin berpecah,” katanya.
Dalam pada itu, Stoelen menyifatkan Israel sebagai ‘proksi’ kepada Amerika Syarikat, dengan mendakwa negara itu bergantung kepada sokongan ketenteraan dan kewangan Washington.
Beliau berpendapat gabungan kedua-dua negara itu menyumbang kepada ketidakstabilan di rantau Asia Barat.
Stoelen turut mendedahkan bahawa beliau menerima ugutan selepas berkongsi video membakar pasport Israel di media sosial. Antaranya termasuk ancaman bunuh daripada individu tidak dikenali.
Beliau turut mengkritik pihak berkuasa Norway kerana didakwa tidak menangani isu tersebut dengan sewajarnya, selain menuduh negara itu mempunyai kepentingan ekonomi dalam syarikat yang berkait dengan konflik berkenaan.
Mengulas liputan media, Stoelen mendakwa rakyat Palestin sering digambarkan secara tidak adil.
Beliau menyeru negara-negara barat untuk menilai semula peranan mereka dalam konflik yang berlarutan itu.
“Dunia Barat perlu melihat kembali bagaimana situasi ini boleh berlaku dan berpanjangan,” katanya. – Agensi



