Sukma Selangor: Semua setuju tiada perkampungan atlet

Sukma Selangor: Semua setuju tiada perkampungan atlet

sukan@hmetro.com.my

Bukit Mertajam: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menegaskan keputusan Selangor sebagai tuan rumah tidak menyediakan perkampungan atlet bagi temasya Sukan Malaysia (Sukma) bukan perkara baharu, sebaliknya ia sudah dibincangkan dan dipersetujui oleh semua kontinjen negeri yang mengambil bahagian.

Menterinya, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, ketetapan itu dibuat selepas melalui proses perbincangan yang panjang sebelum keputusan dicapai dan diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukma, baru-baru ini sebagai langkah penjimatan.

“Ini adalah ketetapan yang sudah pun dibuat sebelum ini dan dipersetujui oleh seluruh negeri yang terlibat yang ia bukan perkara baharu.

“Maknanya perkara ini telah dibincangkan ketika Selangor dapat menjadi tuan rumah untuk Sukma tahun ini. Jadi sudah pun ada perbincangan yang panjang dan sebagainya,” katanya ketika diminta mengulas berhubung pihak tuan rumah tidak menyediakan perkampungan atlet bagi temasya Sukma yang mengundang persoalan pelbagai pihak.

Terdahulu, beliau ditemui pemberita ketika mengadakan lawatan ke atas pemenang emas Sukan Komanwel 1998, G Saravanan yang menderita ‘Motor Neuron Disease’ (MND) iaitu penyakit yang menjejaskan sel saraf motor di otak dan saraf tunjang, di kediaman bekas atlet jalan kaki itu, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohammed Taufiq berkata, meskipun tiada perkampungan Sukma, namun kerajaan Selangor akan memberikan subsidi RM100 sebagai insentif tambahan bagi setiap atlet yang sedikit sebanyak dapat membantu kerajaan negeri masing-masing untuk mengurangkan kos di peringkat negeri.

“RM100 itu bukan bermakna untuk bayar hotel ataupun tidak tetapi itu adalah subsidi tambahan kepada atlet-atlet. Kos pembiayaan tempat tinggal atlet dan sebagainya itu ditanggung oleh negeri masing-masing.

“Jadi setiap negeri keluarkan bajet masing-masing untuk menampung kos terbabit yang ia tidak memberikan beban secara menyeluruh (oleh tuan rumah) tetapi juga diambil tanggungjawab ini secara bersama oleh semua negeri-negeri yang menyertai Sukma ini di seluruh Malaysia,” katanya.

Ketika ditanya berapa kos yang berjaya dijimatkan berikutan ketiadaan perkampungan itu, Mohammed Taufiq berkata, perkara berkenaan akan diperincikan dalam tempoh masa terdekat.

Media semalam melaporkan tiada perkampungan atlet akan disediakan bagi temasya Sukma Selangor 2026 yang dijadual berlangsung 15 hingga 24 Ogos depan, sebaliknya atlet terlibat akan menerima subsidi RM100 mengikut kontinjen masing-masing.

Temasya itu akan dilaksanakan secara berskala kecil, namun tidak menjejaskan kualiti atlet, sukan dan penganjuran keseluruhan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top