am@hmetro.com.my
Masjid Tanah: Kerajaan menerusi Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) membincangkan setiap cadangan daripada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia merangkumi langkah segera serta pelan jangka sederhana bagi menangani risiko dalam sektor pertanian susulan krisis di Asia Barat.
Tambah beliau, cadangan yang turut dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet setiap minggu itu akan mengambil kira pandangan serta input daripada pemain industri bagi memastikan negara lebih bersedia menghadapi cabaran semasa.
“Insya-Allah pengumuman berkaitan perkara ini akan dibuat sendiri oleh KPKM,” katanya selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh di Kampung Pulau, di sini, hari ini
Semalam, Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin dilaporkan berkata, negara berdepan risiko kekurangan bekalan beras dalam tempoh enam bulan lagi sekiranya pesawah terus enggan menanam padi susulan peningkatan kos, khususnya akibat kenaikan harga diesel.
Susulan itu, Ahmad Zahid menegaskan semua pihak, termasuk pembangkang perlu memainkan peranan dengan mengemukakan cadangan yang konstruktif bagi membantu kerajaan menangani kesan ketidakstabilan geopolitik global.
Katanya, ini kerana masalah berkaitan perkara berkenaan adalah masalah berkenaan dan sepatutnya mereka memberikan cadangan yang baik bagi menyelesaikannya.
“Jika mereka terlalu bijaksana, inilah masa terbaik untuk kita bersama-sama mencari jalan menyelamatkan negara walau pun mereka berada di pihak pembangkang,” katanya.
Sementara itu, Dr Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) enggan mengulas mengenai status MIC dalam parti gabungan berkenaan.
“Saya baru sahaja duduk (makan) dengan dia tadi,” katanya.
Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran yang hadir pada majlis rumah terbuka berkenaan, turut makan semeja dengan Ahmad Zahid dan Ab Rauf sebelum masing-masing meninggalkan majlis kira-kira sejam kemudian.
Baru-baru ini, Perikatan Nasional (PN) menegaskan MIC membuat permohonan untuk menjadi ahli anggota parti itu dengan menghantar surat kepada PN pada 15 November tahun lalu.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dilaporkan berkata, permohonan dibuat menerusi Vigneswaran dengan menghantar surat kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin yang ketika itu menjawat jawatan Pengerusi PN.
Menerusi permohonan berkenaan, PN meneliti dan membincangkan permohonan daripada MIC sebelum diterima sebagai parti anggota PN pada Disember lalu.
Permohonan untuk diterima semula ke dalam PN disebabkan MIC menganggap mereka adalah pengasas bersama PN, memandangkan ketika PN ditubuhkan, terdapat tiga parti iaitu PAS, BERSATU dan MIC.
© New Straits Times Press (M) Bhd




