am@hmetro.com.my
Bukit Kayu Hitam: Dua beradik masing-masing berusia 17 dan 21 tahun ditahan Agensi Dadah Kebangsaan (AADK) Kedah kerana positif dadah ketika baru pulang dari menyambut pesta Songkran di Pekan Dannok, Thailand, semalam.
Mereka ditahan dalam sekatan jalan raya (SJR) AADK Bukit Kayu Hitam di Kompleks Imigresen, Kastam Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di sini ketika dalam perjalanan pulang dari Thailand ke negara ini.
Hasil ujian saringan air kencing wanita berusia 21 tahun itu didapati positif dadah jenis ketamin, methylenedeioxy methamphetamine (MDMA) dan methapetamine manakala adik lelakinya pula positif dadah jenis ketamin.
Menurut wanita berkenaan, dia dan adik lelakinya itu memasuki Thailand sejak petang kelmarin dengan menaiki motosikal dari rumah mereka di Kuala Perlis dan bermalam di Pekan Dannok.
Katanya, mereka yang juga kematian ibu sejak empat tahun lalu kini tinggal bersama bapa mereka di Kuala Perlis.
“Kami masuk ke Thailand semata-mata nak sambut pesta Songkran. Ini kali pertama mencubanya (rokok mengandungi dadah) dan saya tahu ia ada dadah dan dapat percuma saja.
“Saya tidak sangka akan ditahan AADK dan perlu menjalani ujian saringan air kencing,” katanya ketika ditemui semalam.
Dalam pada itu, seorang lagi remaja berusia 17 tahun ditahan malam kelmarin mengakui terjebak dengan dadah selepas mengikut rakannya.
Dia mendakwa baru pertama kali mengambil dadah jenis ketamin itu kerana sekadar mahu mencuba ketika berkunjung ke negara jiran untuk sambutan pesta Songkran itu.
Sementara itu, Pengarah AADK Kedah, Md Razif Wan berkata, AADK Negeri Kedah melaksanakan operasi SJR Khas ini bermula pagi kelmarin dan berakhir petang semalam.
Beliau berkata, operasi ini dilaksanakan berdasarkan hasil maklumat risikan Unit Antidadah Sempadan (UAS) Bukit Kayu Hitam yang mendapati terdapat ramai rakyat Malaysia yang merentas sempadan bagi tujuan berhibur di pusat hiburan sekitar Dannok, Thailand.
“Bermula semalam, sebanyak 25 kereta dan 35 motosikal diperiksa selain seramai 47 individu diminta untuk menjalani ujian saringan air kencing.
“Hasil daripada itu, seramai 37 individu didapati positif dadah atau bahan terlarang dan daripada jumlah yang ditahan, empat daripada mereka posotif methapetamine; 17 ketamin; MDMA (14) dan THC (2).
“Keseluruhan individu yang dikesan positif ini berumur antara 17 hingga 46 tahun dan majoriti daripada mereka adalah pengguna kali pertama atau individu yang mengambil dadah di pusat hiburan sekadar untuk tujuan hiburan semata-mata.
“Kesemua individu terbabit ditahan di bawah Seksyen 3(1) Akta Penagih dan penyalahguna Dadah dan Bahan (Rawatan dan Pemulihan) 1983 untuk tindakan selanjutnya, ” katanya pada sidang media di lokasi SJR, semalam.
© New Straits Times Press (M) Bhd




