Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR) merangkap Penasihat Kanan Politik kepada Perdana Menteri, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz menegaskan bahawa semua jentera parti perlu segera mengubah pendekatan daripada gaya pembangkang kepada cara kerja sebagai parti kerajaan.
Kita kerajaan bukan lagi pembangkang

Menerusi perkongsian di Facebook, Tengku Zafrul berkata, perubahan itu amat penting memandangkan PKR kini memasuki fasa kritikal menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
“PKR hari ini bukan lagi pembangkang. Kita kerajaan. Jadi cara kita bekerja, berkempen dan berkomunikasi mesti berubah. Ini bukan malam untuk sembang santai. Kita sudah masuk fasa kritikal menuju PRU16,” katanya.
Beliau menekankan bahawa pendekatan lama yang hanya bergantung kepada ceramah dan media sosial tidak lagi mencukupi. Sebaliknya, jentera parti perlu lebih aktif turun padang bagi mendekati rakyat serta membina kepercayaan secara langsung.
Dalam masa sama, beliau mengingatkan agar kekuatan parti dalam ruang digital tidak diabaikan. Jelasnya, kehadiran agresif di media sosial masih penting bagi menjawab isu semasa, membentuk naratif serta mempertahankan parti daripada serangan lawan.

“Tak cukup dengan ceramah dan media sosial sahaja. Kita kena turun padang, jumpa rakyat, bina kepercayaan dari bawah. Dalam masa sama, jangan hilang kekuatan kita. Kena kembali agresif di media sosial. Jawab isu, bentuk naratif, pertahankan parti,” jelasnya.
Justeru itu, Tengku Zafrul turut menegaskan kepentingan perpaduan dalam kalangan ahli parti, sambil memberi amaran bahawa perpecahan dalaman boleh menjejaskan keyakinan rakyat terhadap keupayaan PKR mentadbir negara.





