Cadangan misi bantuan kemanusiaan ke Gaza menerusi inisiatif Global Sumud Flotilla (GSF) terus mencetuskan perdebatan dalam kalangan warganet di media sosial dengan mempersoalkan keberkesanan pendekatan itu berdasarkan rekod lalu.
Seorang pengguna aplikasi Threads, @fusomisa berpendapat usaha seperti GSF 1.0 dilihat “gagal sepenuhnya” sekali gus mempersoalkan keperluan untuk mengulangi misi yang sama.
Menurutnya, jika matlamat sekadar mencetuskan perhatian global tanpa impak berpanjangan, situasi di Gaza berisiko kekal atau menjadi lebih buruk.
Dia turut mencadangkan pendekatan lebih agresif termasuk kehadiran pihak ketenteraan serta mempertahankan diri dengan senjata sekiranya berdepan tindakan Israel.
Namun begitu, pempengaruh media sosial dan penganalisis geopolitik, Ahmad Faezal tampil membidas pandangan tersebut dengan menyifatkan kritikan itu tidak disertakan alternatif yang praktikal.
“Sila cadangkan strategi lain yang realistik,” balasnya di ruangan komen sambil menekankan bahawa setiap laluan bantuan ke Gaza mempunyai risiko tersendiri.

Menurut beliau, laluan laut berdepan risiko dipintas, laluan darat pula memerlukan kos tinggi manakala laluan udara pula disifatkan tidak sesuai kerana risiko keselamatan di kawasan konflik yang padat.
“Jalan laut ada risiko pintasan. Jalan darat kena bayar $20K setiap lori ke Israel seperti dibentang seorang penduduk Gaza, Muntasir. Jalan udara jatuh hempapkan orang. Jadi sementara kita berdebat jalan, zon kuning makin menjerut Gaza hari demi hari,” jelasnya.
Mengulas cadangan menggunakan kekerasan, Ahmad Faezal mengingatkan sejarah insiden MV Mavi Marmara di mana aktivis yang cuba mempertahankan diri akhirnya dituduh sebagai pihak yang memulakan keganasan.
“Bila Zionis bertindak dahulu, aktivis akan pertahan diri dengan apa saja yang ada. Tetapi naratif akhirnya memutar fakta dan menyalahkan mangsa,” ujar Ahmad Faezal.
Beliau turut menegaskan bahawa pendekatan tanpa keganasan (non-violence) terbukti berkesan dalam sejarah, termasuk dalam gerakan yang berjaya memberi tekanan kepada kuasa besar seperti Amerika Syarikat (AS) dan Britain.
“Belajar dari MV Mavi Marmara. Apabila Zionis mula dulu, aktivis pertahan diri guna apa saja mereka ada. Sebaik masuk berita? Aktivis difitnah mula dulu. Sejarah membuktikan pendekatan tanpa keganasan berjaya gegarkan AS dan British,” katanya lagi.

Perdebatan ini mencerminkan dilema berterusan dalam mencari kaedah paling efektif untuk menyalurkan bantuan ke Gaza, di tengah sekatan ketat dan risiko geopolitik yang kompleks.
Untuk makluman, Peserta GSF 2.0 sudah memulakan pelayaran dari Pelabuhan Barcelona menuju ke Gaza kira-kira 1 tengah hari waktu tempatan (7 malam waktu Malaysia) pada Ahad.
Sumber: Threads Ahmad Faezal




