London: Seorang penyokong Arsenal dari Uganda yang kecewa dengan prestasi hambar kelab kesayangannya sejak akhir-akhir ini mengambil tindakan undang-undang terhadap Gunners dengan menuduh berlakunya kecuaian profesional, kelemahan taktikal dan menyebabkan tekanan emosi.
Dalam satu notis saman bertarikh 11 April yang dihantar ke ibu pejabat Arsenal di Highbury House, London, Eric Kyama mendakwa prestasi terkini kelab itu menentang AFC Bournemouth merupakan “pelanggaran asas terhadap kontrak tersirat antara kelab dan penyokong globalnya”.
Surat tersebut yang dikongsi Kyama di platform X dan turut dihantar kepada beberapa organisasi media antarabangsa, menggariskan beberapa tuduhan terhadap kelab, pemain serta pengurus Mikel Arteta.
Kyama menuduh pemain melakukan kecuaian profesional, dengan mendakwa mereka menunjukkan kekurangan usaha sepenuhnya serta gagal mempamerkan kesungguhan dan komitmen di atas padang.
Beliau turut mengkritik Arteta dengan mendakwa pengurus itu tidak mempunyai keupayaan taktikal yang diperlukan untuk memimpin kelab, serta menyifatkan persembahan pasukan sebagai tidak tersusun dan tiada arah.
Penyokong itu juga berhujah bahawa prestasi Arsenal telah menyebabkan tekanan emosi dan kewangan kepada peminat, dengan menyatakan bahawa penyokong melaburkan masa, wang dan emosi yang besar untuk menyokong kelab.
Kyama turut mendakwa berlaku salah gambaran nilai jenama, dengan mengatakan promosi kelab terhadap nilai seperti kecemerlangan dan slogan “Victory Through Harmony” bercanggah dengan apa yang beliau anggap sebagai kekurangan semangat juang dalam perlawanan tersebut.
Beliau memberi amaran bahawa jika kelab gagal memberikan penjelasan rasmi serta langkah untuk memulihkan standard kompetitif, beliau akan meneruskan tindakan undang-undang bagi menuntut ganti rugi atas kesan psikologi dan hilang kepercayaan terhadap kelab.
“Jangkakan komunikasi lanjut daripada wakil undang-undang saya,” menurut penutup surat tersebut.
Notis itu kini tular di media sosial, dengan reaksi bercampur daripada peminat dan pemerhati sukan, daripada hiburan hingga kepada keraguan.
Walaupun kekecewaan penyokong selepas prestasi buruk adalah perkara biasa, tindakan undang-undang berasaskan hubungan kontrak tersirat antara kelab dan peminat jarang berlaku dan berkemungkinan berdepan cabaran besar dari segi undang-undang.
Setakat ini, Arsenal belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi.
© New Straits Times Press (M) Bhd




