48 veteran ATM kumpulan pertama sertai Malaysia Border Guard

48 veteran ATM kumpulan pertama sertai Malaysia Border Guard

suharmin.yusuf@hmetro.com.my

Kajang: Seramai 48 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menjadi kumpulan pertama dilantik sebagai Malaysia Border Guard (MBG) bagi memperkukuh kawalan pintu masuk negara.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kumpulan berkenaan adalah sebahagian daripada sasaran keseluruhan 220 veteran ATM yang akan direkrut di bawah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS).

“Bagi fasa pertama, seramai 48 orang veteran ATM sudah dilantik.

“Pelantikan itu susulan pengumuman Belanjawan 2026 yang memperuntukkan RM8 juta bagi pengambilan veteran ATM untuk berkhidmat di bawah AKPS.

“Jadi sesuai dengan pengumuman kelulusan bajet dengan sasaran rekrut seramai 220 orang, hari ini adalah kumpulan pertama,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Peluncuran Inisiatif MBG (Veteran ATM) 2026 di Maktab Penjara Malaysia, di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Panglima ATM, Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman; Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim Ali; Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan) Kementerian Dalam Negeri, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman dan Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain.

Saifuddin Nasution berkata, kumpulan berkenaan akan ditempatkan di tiga lokasi utama bagi melaksanakan tugasan kawalan sempadan.

“Seramai 31 MBG akan ditempatkan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di Sepang.

“Sementara di Pelabuhan Klang, kita akan letakkan 14 orang dan di ibu pejabat AKPS, kita akan tempatkan tiga orang,” katanya.

Menurutnya, walaupun terdiri daripada veteran tentera, semua calon tetap melalui proses saringan ketat sebelum dilantik.

“Saringan psikometrik, bahkan ujian fizikal, sesi temuduga tujuannya nak pastikan standard perkhidmatan pengambilan ini dapat mereka penuhi,” katanya.

Beliau berkata, kumpulan pertama itu disahkan melepasi semua ujian dan mempunyai tahap disiplin tinggi.

Saifuddin Nasution berkata, kontrak lantikan bagi kumpulan pertama MBG adalah selama setahun sebagai permulaan.

“Baki pengambilan bagi melengkapkan kuota 220 veteran ATM dijangka dilaksanakan secara berperingkat sepanjang tahun ini.

“Pengalaman serta kemahiran dimiliki veteran ATM menjadikan mereka aset penting kepada AKPS dalam mengawal sempadan negara,” katanya.

Shuhaily berkata, kerjasama strategik antara pelbagai agensi termasuk Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) dan pihak berkaitan dilihat memperkukuh pelaksanaan inisiatif MBG secara tersusun.

“Inisiatif pengambilan veteran ATM ke dalam AKPS adalah satu langkah strategik bagi memanfaatkan pengalaman, disiplin serta kepakaran mereka.

“Pelantikan ini bukanlah penamat kepada perkhidmatan para veteran, sebaliknya menjadi kesinambungan perjuangan dalam bentuk yang baharu,” katanya.

Beliau berkata, langkah itu dilihat sebagai kesinambungan peranan veteran dalam memperkukuh keselamatan dan pengurusan pintu masuk negara.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top