Bangkok: Sambutan perayaan Songkran di Thailand terus menarik kehadiran jutaan penduduk tempatan dan pelancong ke seluruh negara, meskipun berhadapan dengan kenaikan harga bahan api dan kos perjalanan yang melambung tinggi.
Bandar-bandar utama seperti Bangkok, Chiang Mai dan Phuket menganjurkan acara ‘perang air’ secara besar-besaran serta pelbagai aktiviti kebudayaan. Ini sekali gus memperkukuh status Songkran sebagai pemacu utama industri pelancongan walaupun kos sara hidup dan pengangkutan yang lebih tinggi kini membebankan pelancong.
Bagaimanapun, terdapat penduduk yang mula mengubah rancangan mereka sebagai tindak balas kepada peningkatan kos. Suweewiraya Wannasing, 38, memilih untuk kekal di Bangkok tahun ini bagi mengelakkan perbelanjaan tinggi dan kesukaran untuk pulang ke kampung halamannya di Wilayah Surin.
Suweewiraya, yang telah bekerja di Bangkok selama 15 tahun berkata, beliau memulakan harinya dengan mengunjungi kuil untuk bersembahyang sebagai sebahagian daripada tradisi sambutan Songkran.
“Selepas bersembahyang, saya akan menghubungi ibu bapa untuk memberi penghormatan dan memohon restu mereka untuk masa depan saya,” katanya kepada Bernama ketika ditemui pada Isnin.
Beliau berkata, pada sebelah petang, beliau akan menyertai rakan-rakannya untuk mengambil bahagian dalam pesta air dan konsert, mencerminkan bagaimana kebanyakan penduduk mengimbangi tradisi dengan keraian di sebalik peningkatan kos.
Songkran, yang disambut setiap tahun dari 13 hingga 15 April, ditandai dengan perhimpunan anggota keluarga, penghormatan kepada orang tua dan nenek moyang, serta upacara membersihkan imej Buddha.
Diiktiraf oleh Pertubuhan Pelajaran, Sains dan Pendidikan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sebagai Warisan Budaya Tidak Ketara Kemanusiaan, festival ini juga merupakan acara kemuncak dalam kalendar pelancongan Thailand yang menarik pelawat dari seluruh dunia untuk merasai kemeriahan sambutan dan tradisi budayanya yang kaya.
Namun, perayaan tahun ini berlangsung berlatarbelakangkan krisis tenaga global yang dikaitkan dengan ketegangan geopolitik, yang telah melonjakkan harga bahan api dan meningkatkan kos pengangkutan.
Kerajaan Thailand telah menggesa orang ramai untuk mengambil langkah penjimatan tenaga dan memperkenalkan inisiatif seperti mengekalkan tambang pengangkutan awam serta memastikan bekalan bahan api yang mencukupi bagi mengurangkan beban pengembara semasa tempoh perayaan ini.
Sementara itu, Gabenor Pihak Berkuasa Pelancongan Thailand (TAT) Thapanee Kiatphaibool berkata, festival Songkran menghimpunkan elemen terbaik budaya Thai dan sambutan kontemporari, sekali gus memperkukuh kedudukannya sebagai satu acara global sebenar.
“Dengan pengiktirafan UNESCO terhadap Songkran di Thailand sebagai Warisan Budaya Tidak Ketara Kemanusiaan, kami bangga untuk mempersembahkan pengalaman yang berakar umbi dalam tradisi sambil merangkul kemodenan, seterusnya mengukuhkan lagi kedudukan Thailand sebagai destinasi festival bertaraf dunia,” katanya.
Songkran yang dianggap secara meluas sebagai satu daripada festival paling penting dan menguntungkan di Thailand, terus memainkan peranan penting dalam memacu aktiviti ekonomi dengan perniagaan dan komuniti setempat mendapat manfaat daripada limpahan pelancong.
Ketika jalan raya dipenuhi dengan percikan air dan ritual tradisional diteruskan, daya tarikan Songkran yang kekal menunjukkan kemampuan Thailand untuk meraikan warisan budayanya walaupun di tengah-tengah cabaran ekonomi global.
© New Straits Times Press (M) Bhd




