Pogacar gagal di Roubaix, misi cipta sejarah belum terkubur

Pogacar gagal di Roubaix, misi cipta sejarah belum terkubur

Paris: Tadej Pogacar mungkin terlepas peluang mencipta sejarah di Paris-Roubaix, namun juara dunia itu masih berpeluang menulis namanya dalam buku rekod musim ini.

Bagi pencabar utamanya, Mathieu van der Poel, musimnya dilihat hampir berakhir selepas gagal mencapai tiga sasaran utama pada musim bunga.

Pogacar sebelum ini memburu status sebagai pelumba keempat memenangi kesemua lima perlumbaan Monumen, selain menjadi yang pertama memegang kesemuanya dalam satu masa.

Namun, hasrat itu tidak kesampaian apabila dia tewas kepada Wout van Aert dalam pecutan penamat di velodrom Roubaix, Ahad lalu, sekali gus menangguhkan impian itu sekurang-kurangnya setahun.

Ditanya sama ada akan kembali ke perlumbaan yang dikenali sebagai ‘Hell of the North’, Pogacar memberi bayangan positif.

“Ya, sudah tentu. Saya fikir saya akan kembali.

“Mungkin bukan tahun depan. Saya masih ada beberapa tahun lagi dalam karier.

“Saya akan cuba kembali dan mencuba lagi,” katanya.

Dia masih berpeluang mencipta sejarah apabila boleh menjadi pelumba pertama memenangi empat daripada lima Monumen dalam satu tahun kalendar.

Pogacar sudah memenangi Milan-San Remo buat kali pertama bulan lalu dan mencatat kemenangan ketiga menyamai rekod di Tour of Flanders minggu lalu.

Dua lagi Monumen yang berbaki dilihat paling sesuai dengan keupayaannya berdasarkan dominasi yang dipamerkan sebelum ini.

Dia sudah memenangi Liege-Bastogne-Liege sebanyak tiga kali dan mencatat kemenangan dengan kelebihan lebih seminit dalam dua edisi terakhir.

Dalam Tour of Lombardy pula, Pogacar kekal tanpa pencabar apabila memenangi kesemua lima penyertaannya setakat ini.

Malah dua tahun lalu, dia menamatkan perlumbaan lebih tiga minit di hadapan juara Olimpik, Remco Evenepoel.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top