Barca mampu cipta keajaiban di Metropolitano – Yamal

Barca mampu cipta keajaiban di Metropolitano – Yamal

Madrid: Lamine Yamal menegaskan FC Barcelona tidak boleh menganggap kebangkitan menentang Atletico Madrid dalam Liga Juara-Juara sebagai sesuatu yang mustahil.

Barcelona akan ke Stadium Metropolitano awal pagi esok dengan ketinggalan 0-2 daripada aksi pertama suku akhir, satu defisit yang meletakkan mereka dalam situasi hampir tersingkir kecuali mampu melakukan kebangkitan luar biasa di tempat lawan.

“Kita tidak boleh anggap kebangkitan ini sebagai satu keajaiban,” kata Yamal dalam sidang media.

“Saya bertuah kerana sejak kecil lagi saya sudah biasa memikul tanggungjawab lebih besar daripada sepatutnya. Saya sudah terbiasa dengan perkara itu.”

“Saya hanya fokus untuk menikmatinya, tidak melihatnya sebagai masalah, tetapi sebagai kekuatan. Saya bersyukur dengan semua yang berlaku kepada saya.”

Lebih separuh daripada pemain yang dijangka beraksi di Madrid adalah graduan akademi La Masia, dengan Yamal yang berusia 18 tahun dianggap sebagai produk paling berbakat sejak Lionel Messi.

Beliau mula mencuri perhatian dunia apabila membantu Sepanyol memenangi Kejohanan Eropah 2024 dan menduduki tempat kedua dalam undian Ballon d’Or 2025.

“Adalah sangat penting untuk mempunyai ramai pemain La Masia dalam perlawanan seperti esok. Kami semua produk akademi, kami semua cintakan Barca. Kami tahu maksud perlawanan seperti ini. Kami akan berjuang hingga akhir,” katanya.

Sejarah memberikan sedikit harapan. Hanya sekali dalam Liga Juara-Juara sebuah pasukan berjaya membalikkan defisit 0-2 dari perlawanan pertama di tempat sendiri, iaitu ketika Manchester United menewaskan Paris Saint-Germain 3-1 di Paris pada 2019.

Barcelona sendiri hanya sekali melakukan kebangkitan lebih besar dalam perlawanan kalah mati, apabila bangkit daripada kekalahan 0-4 kepada PSG dengan kemenangan 6-1 di Camp Nou pada musim 2016-17.

Tugas mereka kali ini lebih sukar kerana bulan lalu Barcelona juga disingkirkan oleh Atletico dalam separuh akhir Copa del Rey selepas tewas 0-4 di perlawanan pertama di Metropolitano.

Kemenangan 3-0 di perlawanan kedua tidak mencukupi untuk menghalang Atletico mara ke final.

Namun Yamal tetap menegaskan Barcelona tidak akan menyerah tanpa perjuangan.

“Kami berjanji jika kami tersingkir, kami akan berjuang hingga ke akhir. Kami akan berikan segalanya untuk lambang ini. Perlawanan ini 90 minit atau lebih, belum selesai lagi. Kebangkitan itu masih sangat mungkin, sebab itu kami berada di sini,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top