Sasar jualan motosikal EV tembusi negara ASEAN

Sasar jualan motosikal EV tembusi negara ASEAN

IPOH – Di sebalik krisis bahan api global, syarikat bumiputera tempatan iaitu Kumpulan GGR (GGR Motor) memanfaatkan peluang memperluaskan jualan motosikal elektrik (EV) ke peringkat serantau dengan menyasarkan untuk menembusi pasaran Asia Tenggara termasuk Thailand, Filipina dan Laos.

Pengarah Urusannya, Muhammad Musaddiq Mohamed Azmi berkata, langkah itu selari dengan potensi pertumbuhan industri EV yang semakin berkembang di rantau ini khususnya di negara yang lebih awal menerima teknologi berkenaan.

Menurutnya, sasaran tersebut didorong oleh permintaan positif terhadap model sulung syarikat, Lion G1 yang telah mencatat lebih 8,000 tempahan sejak dilancarkan pada Jun tahun lalu.

“Pasaran Asia Tenggara menunjukkan potensi besar, khususnya di negara seperti Thailand yang lebih awal menerima teknologi EV.

“Ini memberi peluang kepada GGR untuk berkembang di peringkat serantau,” katanya katanya dalam kenyataan sempena pelancaran cawangan GGR X EV Ipoh di Medan Bercham Bistari di sini pada Ahad.

Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan syarikat menyasarkan jualan sekurang-kurangnya 3,000 unit motosikal EV sebulan bagi tahun ini, sekali gus mampu mencapai kira-kira 36,000 unit setahun untuk satu model.

Katanya, sasaran itu dianggap realistik berdasarkan permintaan semasa serta peningkatan kapasiti pengeluaran dan pengembangan rangkaian pengedar.

“Pasaran EV di Malaysia kini berada dalam fasa awal, namun menunjukkan pertumbuhan konsisten dan berpotensi berkembang dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang,” ujarnya.

Sehingga kini, lebih 6,000 unit Lion G1 telah berjaya dihantar kepada pelanggan di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

Tambah beliau, kelebihan motosikal elektrik dari segi penjimatan kos bahan api dan penyelenggaraan menjadi antara faktor utama peningkatan permintaan, khususnya bagi kegunaan harian dalam bandar.

Bagi menyokong pertumbuhan tersebut, GGR turut meningkatkan kapasiti kilang pemasangan selain menambah tenaga kerja bagi mempercepatkan proses penghantaran.

Syarikat itu juga memberi tumpuan kepada pembangunan teknologi termasuk sistem pengecasan fleksibel seperti ‘battery swapping’ serta integrasi dengan kemudahan pengecasan EV sedia ada.

Sementara itu, Ketua Cawangan GGR X EV Ipoh, Mohamed Izwan Abdul Karim berkata, pemilihan Ipoh sebagai lokasi cawangan baharu adalah berdasarkan potensi pasaran di utara Semenanjung serta kedudukannya yang strategik sebagai hab penghubung.

Menurutnya, gaya hidup masyarakat setempat yang aktif menggunakan motosikal bagi perjalanan jarak dekat turut menjadikan bandar itu sesuai untuk penggunaan motosikal elektrik.

Katanya, pembukaan GGR X EV Ipoh diharap dapat menjadi pemangkin kepada pertumbuhan pasaran motosikal elektrik di Perak serta menyokong agenda mobiliti hijau negara.

Scroll to Top