
DPMM Johor syor tiga langkah memperkukuh daya tahan usahawan PMKS serta merangsang ekonomi domestik dalam menghadapi ketidaktentuan global.
SHAH ALAM – Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Johor mengemukakan tiga syor strategik jangka pendek dan sederhana bagi memperkukuh daya tahan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi global susulan krisis geopolitik di Asia Barat.
DPMM Johor dalam satu kenyataan berkata, pihaknya menyambut baik usaha berterusan kerajaan Madani dalam memacu pemulihan ekonomi negara serta mencadangkan peruntukan dana sebanyak RM7 bilion.
“Sebanyak RM3 bilion disalurkan melalui agensi dan institusi seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA), Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN Nasional), Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Bank Simpanan Nasional (BSN) serta Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB).
“Dana itu bagi menyediakan kemudahan pinjaman antara RM10,000 hingga RM100,000 khusus kepada syarikat mikro dan kecil Bumiputera. RM4 bilion pula disalurkan melalui bank-bank komersial bagi menyokong syarikat kategori sederhana yang dimiliki 100 peratus oleh rakyat Malaysia,” menurut kenyataan itu.
Kata kenyataan itu lagi, skim ini dicadangkan dengan kadar faedah serendah 1.5 peratus, tempoh pembayaran balik sehingga lima tahun serta moratorium minimum enam bulan bagi meringankan beban aliran tunai usahawan.
“DPMM Johor turut menyarankan agar perbelanjaan perolehan kerajaan Persekutuan dan Negeri ditingkatkan sebanyak 30 peratus daripada peruntukan sedia ada.
“Langkah ini penting untuk menyuntik kecairan tunai secara langsung ke dalam ekosistem pasaran domestik sekali gus merangsang pertumbuhan ekonomi dalam negara,” tambahnya.
Menurut DPMM Johor, kerajaan disaran mempertimbangkan kelulusan Variation Order (VO) secara bersasar bagi kontrak yang terjejas akibat kenaikan mendadak kos bahan mentah.
“Usaha itu akan memastikan kontraktor tempatan tidak terbeban dengan kos luar kawalan serta menjamin projek dapat disiapkan mengikut jadual tanpa menjejaskan kualiti.
“Akhir sekali, DPMM Johor akan terus memantau perkembangan krisis di Asia Barat dari masa ke masa serta akan sentiasa mengemukakan cadangan dan usul kepada kerajaan dalam memastikan kestabilan ekonomi negara terus terjamin,” katanya.
Langkah itu akan diteruskan sehingga ketidaktentuan geopolitik reda sepenuhnya bagi memastikan kestabilan dan daya tahan ekonomi negara serta usahawan tempatan terus terpelihara.



