'Beri kami ruang, kami masih bersedih' – Anak mendiang San Markan

'Beri kami ruang, kami masih bersedih' – Anak mendiang San Markan

Georgetown: Anak tunggal kepada peguam berpengalaman, Dr Ananda Raj San Markan masih terkejut dengan kejadian yang menimpa bapanya Datuk San Markan Ganapathi yang maut selepas terperangkap dalam kebakaran sebuah rumah kedai dua tingkat yang dijadikan pejabat guaman di Lebuh King di sini, semalam.

“Beri saya ruang, kami masih bersedih kerana kehilangan ayah dan masih teringat-ingat akan mendiang,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di pekarangan Jabatan Perubatan Forensik Hospital Pulau Pinang, di sini bagi menunggu proses bedah siasat mayat bapanya yang selesai kira-kira 11.30 pagi tadi.

Mayat San Markan dibawa pulang ke rumahnya di Gelugor untuk upacara sembahyang dan penghormatan terakhir bermula pukul 4 hingga 6 petang ini sebelum mendiang dikebumikan di tanah perkuburan Hindu Batu Lanchang.

Selain San Markan, 88, seorang kerani wanita B. J. Chandra, 60, turut maut dalam kejadian yang berlaku kira-kira 12.14 tengah hari itu.

Sementara itu, kakak Chandra, B. J. Sajni, 68, berkata adiknya baru sembilan bulan bekerja di firma guaman terbabit selepas berhenti daripada berkhidmat di sebuah pejabat guaman di Aboo Siti Lane, di sini susulan kematian majikannya.

“Adik saya seorang yang pendiam. Dia tinggal seorang diri tidak jauh dari rumah saya di Bayan Baru, hubungan kami sangat rapat, kami sentiasa berhubung dan kali terakhir berjumpa adalah pada minggu lepas apabila kakak sulung dari India pulang menziarahi kami berdua di sini,” katanya.

Sajni berkata ketika kejadian, dia berada di sebuah kuil di Bayan Baru dan dia mendapat tahu kebakaran itu apabila menerima panggilan daripada seorang rakan, lalu terus bergegas ke lokasi.

“Sebaik tiba, bomba sedang memadamkan kebakaran … majikan adik saya sempat turun menggunakan tangga dengan bantuan jiran dan mereka maklumkan telah berusaha memanggil adik saya, tetapi tiada respons kerana asap terlalu tebal,” katanya dan menambah urusan pengebumian Chandra akan diputuskan sebaik sahaja adik bongsu mereka tiba dari Amerika Syarikat esok.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Peguam Pulau Pinang S. Gowri berkata San Markan dikenang sebagai tokoh berpengalaman, berhemah dalam memberikan nasihat dan berdedikasi tinggi terhadap profesion guaman selain aktif dalam amalan undang-undang sivil dan terus menyumbang sebagai perunding kepada beberapa firma selepas meninggalkan firmanya.

Beliau berkata mendiang merupakan penyokong teguh institusi guaman yang sentiasa murah hati berkongsi ilmu dan bimbingan selain prihatin dan sering menyokong serta memberikan bantuan kepada rakan sejawatnya.

“Walaupun telah mengurangkan penglibatan aktif sebagai peguam, mendiang kekal menyumbang kepada komuniti guaman sebagai perunding dan terus membimbing peguam muda, pemergian beliau merupakan kehilangan besar bukan sahaja kepada keluarga dan kenalan rapat, tetapi juga kepada seluruh komuniti guaman di Pulau Pinang.

“Badan Peguam Pulau Pinang kehilangan seorang peguam kanan dan penyokong setia dalam bidang guaman, malah sumbangan dan jasa beliau akan sentiasa dikenang,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top