suharmin.yusuf@hmetro.com.my
Shah Alam: Polis sedang mengesan waris seorang lelaki warga asing yang ditemui meninggal dunia di hadapan sebuah rumah di Kampung Kubu Gajah, di sini, pada 16 Januari lalu.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu daripada pihak Hospital Sungai Buloh.
Katanya, mangsa ialah seorang lelaki warga asing berusia lingkungan 50-an
“Pemeriksaan awal mendapati identiti mangsa masih belum dapat dikenal pasti termasuk status kewarganegaraan berikutan tiada dokumen pengenalan diri ditemui di lokasi kejadian.
“Hasil siasatan lanjut juga mendapati tiada unsur-unsur jenayah dan kes telah diklasifikasi sebagai mati mengejut (SDR),” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sehubungan itu, beliau berkata, polis kini giat mengesan waris atau kenalan mangsa bagi membantu siasatan serta urusan pengecaman identiti.
“Mana-mana individu yang mempunyai maklumat atau kehilangan ahli keluarga serta kenalan diminta segera menghubungi pegawai penyiasat, Sarjan Mejar Azmir Azriezal Ramli di talian 019-5665870 atau tampil ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.
Dalam masa sama, Mohd Hafiz menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kes berkenaan dan memberi ruang kepada pihak polis menjalankan siasatan secara menyeluruh.
© New Straits Times Press (M) Bhd




