Final Piala Cabaran: Tiket percuma kepada penyokong Sabah

Final Piala Cabaran: Tiket percuma kepada penyokong Sabah

sukan@hmetro.com.my

Kota Kinabalu: Sebanyak 2,000 tiket percuma disediakan kepada peminat dan penyokong Sabah FC bagi menyaksikan perlawanan akhir kedua Piala Cabaran menentang Penang FC di Stadium Likas, pada 19 April ini.

Tiket disediakan Kerajaan Sabah menerusi Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah secara ‘first come, first serve’ oleh urus setia di Pejabat Lembaga Sukan Negeri Sabah pada Sabtu ini.

Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, berkata inisiatif itu sebagai tanda sokongan kerajaan negeri kepada Sabah FC dan memastikan Stadium Likas dipenuhi penyokong.

“Saya menyeru penyokong agar turun beramai-ramai memenuhi stadium yang mampu menampung kira-kira 20,000 penonton bagi memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Sabah FC,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Nizam berkata, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor turut dijangka hadir bagi menyaksikan perlawanan akhir itu sebagai tanda komitmen kerajaan negeri terhadap pembangunan sukan bola sepak di negeri ini.

Katanya, kerajaan negeri juga bersetuju untuk menimbangkan pemberian bonus kepada pasukan Sabah FC sekiranya berjaya muncul juara pada perlawanan itu nanti.

“Jika Sabah FC menang, kita akan sediakan bonus kemenangan sebagai penghargaan kepada pasukan,” katanya.

Mengulas peluang Sabah FC, Nizam berkata Sabah FC berada di landasan terbaik untuk menamatkan kemarau kejuaraan bola sepak negeri apabila berjaya mara ke pentas akhir Piala Cabaran 2026.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top